Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aliff rotan anak: JKM rujuk hospital
Diterbitkan:  May 4, 2019 9:30 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Pemeriksaan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap anak perempuan usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman mendapati tiada kesan negatif pada kanak-kanak itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pemeriksaan itu mendapati tidak kesan negatif secara fizikal dan psikologi yang dialami Qadejah El Zahra, 9, atau nama timangannya Cess, rentetan kes dirotan Aliff Syukri.

"JKM sudah siasat dan laporan mendapati tiada kesan negatif ke atas anak beliau, (namun) sekarang ini kita nak rujuk kepada hospital pula.

"Kita tahu niatnya (Aliff Syukri) untuk mendidik anaknya, tapi (dia) dipamerkan (kongsi video). Jika (dilihat) keterlaluan memang JKM telah ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Pandan, di Ampang, hari ini.

Susulan kes itu, Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut menasihatkan ibu bapa agar mengamalkan pendekatan yang lebih baik atau 'good parenting'.

"Kami mahu mengutamakan kepentingan kanak-kanak, (sebab), itulah kita perlu tekankan ‘good parenting’," katanya.

Baru-baru ini, isu Aliff Syukri merotan anak perempuannya itu menjadi tular kerana perbuatannya itu didakwa sebagai mendera anak.

Pada Selasa lepas, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan perbuatan itu sebagai penderaan fizikal membuat laporan polis ke atas Aliff Syukri kerana merotan Cess dengan alasan kanak-kanak itu membuka tudung.

Difahamkan, pegawai psikologi JKM bertemu keluarga Aliff Syukri dan membuat pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu, semalam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS