Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi Ezlynn menuntut bekas suaminya membayar hutang yang didakwanya mencecah jutaan ringgit ketika dia masih berada di bawah pengurusan lelaki tersebut.

Ezlynn mendakwa Adam Fahmy Shamsudin - yang ketika dulu menjadi pengurus peribadinya - tidak membenarkannya memegang langsung wang hasil titik peluh sendiri walaupun dia meminta berbuat demikian.

“Selama 11 tahun, daripada mula bekerja, semua hasil titik peluh saya dia pegang. Tapi bila minta duit masa cerai, dia hanya bagi saya RM1,000 saja,” dakwanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya bagaimana dia boleh berdiam diri selama 11 tahun, penyanyi lagu Dusta itu berkata sebagai isteri dia terpaksa akur dengan kehendak suaminya.

“Masa itu letak duit dalam bank akaun secara bersama.

“Saya ada kata kepadanya agar masukkan sekurang-kurangnya RM500 sebulan dalam akaun saya sendiri supaya seronok untuk bekerja, tapi tidak diendahkannya,” dakwanya lagi.

Sebaliknya, kata Ezlynn, jika ingin menggunakan sejumlah wang, dia perlu meminta kebenaran daripada bekas suaminya itu.

Adam Fahmy

Selain menuntut wang pendapatannya, Ezlynn atau nama penuhnya Azline Ariffin juga mendesak Adam supaya melangsaikan beberapa hutang lain termasuk bil rumah yang sudah lama tertunggak.

Antaranya, kata Ezlynn, bayaran untuk peguam Adam sebanyak RM23,000 yang telah dibayarnya terlebih dulu menggunakan wang dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

“Saya juga tolong dia selesaikan sewa service apartment berjumlah RM13 ribu dan bil elektrik berjumlah RM4 ribu," katanya lagi.

Pada masa sama, Ezlynn, 37, menegaskan rumah yang didudukinya kini bukan milik Adam tetapi milik penuh bank.

"Dia yang berhutang di bank dan tak mahu bayar. Saya yang selesaikan semua hutang pada bank," katanya.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu memuat naik imej sekeping nota - didakwa memaparkan tulisan tangan Adam sewaktu ingin meminjam wang daripadanya - di akaun Instagramnya.

Desak Ezlynn mohon maaf

Sementara itu, menurut Adam, kenyataan Ezlynn itu berunsur fitnah dan mendesaknya memohon maaf secara terbuka jika dia tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.

“Saya akan saman malu terhadap Ezlynn sekiranya dia tidak meminta maaf secara terbuka, sebab kenyataan itu adalah berunsur fitnah,” katanya.

Mengulas mengenai wang pendapatan bernilai jutaan ringgit yang sepatutnya dipulangkan kepada Ezlynn pula, Adam menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal.

“Kalau fikir pun tak logik kan…kes ini sedang dibicarakan, tunggu keputusan mahkamah.

“Saya sudah kemukakan banyak bukti di mahkamah yang dia berbohong dan memfitnah saya di media sejak tahun 2017.

“Saya sudah lali dengan tindakan Ezlynn kali ni sebab masa menjadi isteri saya pun dia boleh mengaibkan suami sendiri di media yang dilarang di sisi Islam,” katanya yang bakal membuat laporan polis berhubung perkara terbabit hari ini.

Ezlynn mendirikan rumah tangga dengan Adam pada 20 November 2011 dan bercerai pada 23 Oktober 2017.

Lihat Komen
ADS