Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Majlis Senator pun tak rela BTS bantu promosi Malaysia

Majlis Senator Malaysia mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membatalkan hasrat membawa kumpulan popular dunia K-pop, BTS, sebagai ikon bagi meraikan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Presidennya Khairudin Samad berkata mereka akan menyuarakan bantahan berhubung langkah membawa artis luar bagi acara mempromosi Malaysia - selepas didatangi beberapa wakil artis hari ini - kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Majlis Senator Malaysia bersetuju untuk menyuarakan isu ini kepada menteri terutama di KBS yang membuat kenyataan untuk membawa BTS masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum itu, penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin, Ito Mohd dan pengacara Helmi Gimmick mengadakan pertemuan bersama Khairudin untuk menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap hasrat KBS untuk menerbangkan BTS bagi mengadakan konsert di negara ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Razali Idris, dan Setiausaha Kehormat Aiman Athirah Al Jundi.

Menurut Khairuddin, Majlis Senator Malaysia sebulat suara berpendapat tindakan membawa kumpulan dari Korea Selatan itu sebagai satu langkah promosi yang kurang bijak.

Kata beliau, dasar utama negara adalah memberi peluang dan menumpukan penghibur tempatan terlebih dahulu memandangkan acara itu diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia.

“Apabila membawa artis dari luar, kita seolah-olah membantu mengiklankan kumpulan dari Korea, ini tak wajar.

“Kita nak kenalkan dan inginkan pelawat melawat negara kita. Justeru kita harus mempelbagai dan memperbanyakkan produk tempatan berbanding mempromosi artis dari luar,” katanya.

Sementara itu, Aishah berkata, artis tempatan wajar diberi sokongan terutama selepas kerajaan PH mengambil alih tampuk kepimpinan pada 9 Mei tahun lalu.

“Kalau tak dijaga nasib artis tempatan, siapa lagi nak buat begitu.

“Memang mereka kata tengok dari luar kotak, tapi sebelum tengok di luar, tengok yang di dalam terlebih dahulu. Bukan sebagai usahawan tetapi sebagai menteri.

“Apabila terima artis luar, kita akan bawa budaya luar masuk, tapi apa yang paling sakit adalah ia dibuat pada Tahun Melawat Malaysia.

"Tak ada negara jemput artis luar pada tahun melawat negara mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS