Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Rahmat sempena bulan yang mulia - itu perasaan pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, semasa meluahkan rasa terharu apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim berkunjung ke kediamannya hari ini.

Kata Yazit, dia beranggapan seperti itu kerana hormatnya terhadap Anwar begitu tinggi dan disifatkan seperti seperti seorang pendekar politik.

"Apabila beliau menyatakan hasrat mahu berjumpa, pada ketika itu saya rasakan seolah-olah Allah kurniakan rahmat kepada saya.

“Bagi saya, ia perkara di luar kebiasaan kerana beliau sebelum ini merupakan bekas timbalan perdana menteri.

“Semalam baru saya dimaklumkan hasrat beliau itu ketika saya dan isteri sibuk cari perabot katil rawatan di sini," katanya ketika ditemui di Wangsa Maju petang tadi.

Mengulas lanjut mengenai ziarah yang berlangsung selama kira-kira 25 minit itu, Yazit berkata Anwar ada bertanyakan khabar selain ingin tahu mengenai perkembangan kesihatannya.

“Banyak kami bualkan antaranya mengenai masalah saya sebagai anak seni, tapi bukan isu politik sebab ia memang tidak sesuai dengan saya.

“Beliau turut menyebut mengenai jasa anak seni kepada tanah air dan lawatan beliau itu memberi semangat kepada saya,” katanya.

Untuk hari tua

Tambah Yazit, sekiranya Anwar ingin menghulurkan bantuan, dia akan menerima dengan hati terbuka.

Pada masa sama, Yazit meluahkan hasratnya untuk mendapat sokongan kewangan kerana kos rawatannya mencecah RM3,000 dan ia agak tinggi buatnya pada masa ini.

Katanya, kos itu termasuk dialisis, pengangkutan, ubat-ubatan tambahan dan belanja harian.

“Buat masa ini saya mendapat bantuan rawatan dialisis daripada Baitulmal selain sesekali bermain muzik bersama kumpulan buskers di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Nik Nazmi

Pada sesi pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada Yazit.

Selain mengidap penyakit buah pinggang sejak 11 tahun lalu, Yazit dikatakan turut menderita sakit saraf.

Sementara itu, Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyeru kerajaan untuk meneliti bantuan kebajikan jangka panjang yang boleh dihulurkan kepada penggiat seni tempatan.

Beliau berkata, sokongan seperti itu diperlukan bagi meringankan beban kewangan mereka yang berkecimpung sebagai pelakon, penyanyi mahupun kru penerbitan ketika hari tua.

“Perkara ini akan dibawa ke peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya supaya pihak berkaitan dapat memperincikan ikhtiar tertentu bagi membantu seniman untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Lihat Komen
ADS