Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak mahu hanya dikenali sebagai pemegang watak orang alim, Raja Atiq mahu mencabar dirinya membawa perwatakan berbeza.

Watak Amirul yang dilakonkan Atiq dalam Drama Nur 2 memaparkan lelaki alim sebelum ini menjadi perbualan hangat di media sosial.

“Tidak, saya bukan hanya memilih watak islamik. Saya juga ingin mendalami watak lain,” kata pemilik nama penuh Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 19 ketika ditemui di Himpunan Artis Sayang al-Quran di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Atiq yang sedang menjalani penggambaran drama Cinta Itu Fairy Tale, dia kini memegang watak yang berlainan menerusi drama terbarunya itu.

“Saya memegang watak sebagai jurukamera dan penceritaannya berlainan dari drama Nur yang berunsur keagamaan.

“Drama ini lebih santai dan tidak menampakkan Atiq sebagai watak seorang lelaki alim,” katanya.

Cinta itu Fairy Tale sebuah drama arahan Tam Suhaimi bakal diterbitkan tidak lama lagi menggandingkan lakonan Atiq dan Eyka Farhana.

Mengulas lakonannya dalam drama Nur 2, Atiq menjelaskan terdapat segelintir pihak tidak berpuas hati apabila babaknya bersama Suraya lakonan Eyra Hazali didapati terlalu pendek.

“Ramai yang tidak puas hati sebenarnya sebab kata mereka episod akhir itu terlalu cepat.

“Ada juga yang hendak (watak lakonannya) Amirul dan Suraya (lakonan Eyra Hazali) berkahwin,” katanya.

Nur 2 adalah sebuah drama yang mendapat sambutan hangat dengan berjaya meraih 10 juta tontonan sejak mula ditayangkan April lalu.

Drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu menampilkan barisan pelakon antaranya Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Mengulas lanjut, pelakon yang namanya kian meningkat itu berkata ia terjadi kerana rata-rata netizen tidak tahu bahawa episod selebihnya boleh didapati dalam laman web iflix.

“Mereka yang nak tengok babak selanjutnya boleh ke laman iflix.

“Situ semua ada, babak ayah haji, Amirul dan Suraya semua ada,” katanya.

Lihat Komen
ADS