Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Jangan tengok orang nikah, kau pun nak nikah'
Diterbitkan:  May 15, 2019 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Pelakon Noorkhiriah hari ini memberi nasihat terutama kepada golongan muda berkenaan cabaran yang menanti selepas mendirikan rumah tangga.

Katanya, keadaan ketika bercinta ternyata berbeza berbanding dengan dunia perkahwinan, apatah lagi setelah memiliki anak.

"Masa bercinta lain, masa bertunang lain, masa kahwin lagilah lain, dah ada anak lagi lain.

"Jangan berangan nak tidur sedap sampai subuh. Jangan fikir seronok, fikir tanggungjawab," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Kata pelakon drama Nur 2 itu, ikatan suami isteri sewajarnya dikekalkan sehingga akhir hayat, justeru mereka yang belum berkahwin jangan terburu-buru untuk berbuat demikian.

"Jangan lihat orang nikah, kau pun nak nikah. Lepas nikah terkejut, rupanya indah khabar dari rupa.

Masa itu pinggan mangkuk terbang sampai luar rumah. Jangan buat aniaya anak orang," katanya lagi.

Noorkhiriah mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul sejak 13 tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua anak, Muhammad Hudhaifah, 10, dan Muhammad Yusoff, 8.

Pasangan itu juga mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkat pada tahun lalu.

Noorkhiriah menyampaikan pesanan itu secara umum tetapi ada kalangan pengikut Instagramnya yang mengaitkannya dengan kisah rumah tangga seorang selebriti di ruangan komen.

Semalam gambar mirip penyanyi Aliff Aziz - yang memang tidak asing dengan kisah rumah tangganya - yang tidak berbaju dengan seorang perempuan tular di media sosial.

Susulan itu, isterinya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah atau lebih dikenali sebagai Bella Astillah berkata telah mengambil keputusan untuk meneruskan hidup bersama anaknya yang berusia hampir dua tahun.

Lihat Komen
ADS