Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mawi tetap positif filem sulung tak pecah panggung

Meskipun Tiada Tajuk sekadar mencapai kutipan balik modal, Mawi menganggap percubaan pertamanya sebagai pengarah filem bukan suatu kegagalan.

Mawi yang tidak pernah mendapat sebarang didikan formal dalam filem berkata dengan kutipan itu, Tiada Tajuk sekurang-kurangnya masih mencapai sasaran yang diharapkannya.

“Alhamdulillah, apa saya boleh komen adalah Tiada Tajuk bukannya tidak berjaya.

“Sebenarnya, sejak dari awal saya memang tidak meletak harapan terlalu tinggi untuk filem pertama ni. Sudah mencukupi sekiranya karya itu dapat bawa pulang modal,” kata penyanyi, pelakon dan penerbit itu.

Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani ditemui pada Majlis sidang media dan tayangan perdana Program Raya Astro 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melalui semakan Malaysiakini berdasarkan senarai kutipan 2019 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Tiada Tajuk meraih kutipan RM 503,600 di panggung.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Kalah Dalam Menang itu enggan mengulas lanjut ketika ditanya jumlah dana bagi filemnya itu.

Terdahulu, tercetus spekulasi filem arahan Mawi yang beraksi di layar perak bermula pada 4 April lalu itu gagal meraih kutipan box office.

Sesebuah filem dianggap pecah panggung atau box office apabila kutipan melebihi kos produksi.

Mengulas lanjut, Mawi, 37, berkata, naskhah filem arahannya yang dibintangi Hazama, Along Cham, Joey Daud dan Amira Othman itu menerima  banyak respons positif daripada penonton.

“Boleh dikatakan kira-kira 80 peratus orang ramai yang menontonnya memberi maklum balas positif,” katanya.

Lumrah berniaga

Untuk rekod, Tiada Tajuk merupakan kesinambungan daripada telefilem Rock Sangkut yang juga diarahkan Mawi.

Tiada Tajuk, filem bergenre komedi Islamik itu mengisahkan tiga sekawan dari kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi rock.

Mawi yang mendapat bimbingan untuk mengarah filem daripada pengarah Syafiq Yusof dan Yusof Haslam itu juga pernah beberapa kali menjadi sutradara bagi beberapa telefilem lain seperti Siapa Dapat Lisa, Novel Fana dan Pak Nil Ibu Kirim Salam.

Mengulas soal keuntungan, Mawi berkata, dia menerima bahawa kutipan Tiada Tajuk bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Namun, katanya, sudah menjadi lumrah seseorang dalam perniagaan untuk untung atau rugi.

“Kalau sebut perniagaan, siapa yang buat tak nak untung? Ini risiko orang berniaga sebab tu ulang sekali lagi, saya tak pernah letak target (sasaran) tinggi.

“Saya tahu, ini adalah (filem) yang pertama, justeru adakah orang boleh percaya saya mampu hasilkan filem mengikut citarasa mereka?” katanya.

Lihat Komen
ADS