Korea Selatan tubuh persatuan filem dengan Asean
Korea Selatan kini melakukan persiapan untuk menubuhkan organisasi bersama dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) bagi mempromosi pembangunan industri filem di rantau itu, lapor agensi berita Yonhap.
Majlis Filem Korea (Kofic) berkata Korea Selatan dan 10 negara Asean termasuk Indonesia, Malaysia serta Singapura, kini menjalin kerjasama untuk mewujudkan Persatuan Filem Korea Selatan-Asean (Arfo) sebelum akhir tahun ini.
"Kami akan mengumumkan penubuhan Arfo pada sidang kemuncak Korea Selatan-Asean pada November," kata Pengerusi Kofic Oh Seok Geun kepada pemberita pada Isnin (waktu tempatan) semasa lawatan beliau ke Pesta Filem Antarabangsa Cannes yang sedang berlangsung.
Berpangkalan di Busan, bandar pelabuhan yang terletak di tenggara Korea Selatan, sekretariat organisasi itu akan dibuka pada awal tahun depan, katanya.
Arfo bertujuan memajukan industri layar perak negara-negara Asia di seluruh dunia, yang meliputi penggubalan dasar dan penciptaan kandungan sehinggalah pendidikan serta pengedaran.
"Arfo kini merancang program pakej bagi mengadakan acara promosi bersama di Amerika dan Eropah.
"Sebagai contoh, ia akan menubuhkan satu gerai bersama di bawah nama Arfo di Cannes tahun depan,” kata Oh.
- Bernama

