Sasterawan Negara Datuk Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) dan bekas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad Tan Sri Hamad Kama Piah adalah antara penyair ternama yang akan membaca puisi pada Malam Pembacaan Puisi untuk Palestin dan Al-Aqsa di Masjid Abdul Rahman bin Auf, Jalan Puchong dekat Kuala Lumpur malam ini.

Turut menyampaikan puisi bertemakan Palestin ialah Adiwangsa Datuk Dr Abdul Rahman Shaari, Datuk Radzuan Ibrahim (Wanrazuhar), Syed Indera Syed Omar atau Siso dan Mohd Letfee Ahmad.  

Program bertemakan ‘Selamatkan Baitulmuqaddis’ anjuran masjid berkenaan dengan kerjasama Persatuan Nusantara Melayu Raya (Numera) pimpinan Kemala bertujuan mengenang nasib umat Islam di Palestin.

Kemala yang juga Presiden Numera berkata sempena acara yang diadakan selepas solat tarawih itu, satu tabung untuk rakyat Palestin akan dilancarkan bagi membantu mangsa kekejaman Israel di negara bergolak itu.

- Bernama