Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Maya Karin berharap sumbangan mahupun tajaan daripada pihak-pihak tertentu terutama makanan yang diberikan kepada anak yatim tidak terhad hanya di bulan Ramadan.

Kata Maya, syarikat mahupun individu yang berminat untuk bersedekah wajar menyalurkan sumbangan sepanjang tahun sekiranya mereka benar-benar menitikberatkan kebajikan ke atas golongan yang lebih memerlukan.

“Tolong buka minda, jangan hulur sumbangan cuma di bulan Ramadan. Dalam setahun ada 12 bulan, jangan hanya fokus pada bulan ini saja.

“Bagaimana dengan bulan-bulan yang lain? Adakah mereka perlu dibiarkan berlapar?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Maya, 39, yang terkenal dengan kelantangan bersuara isu alam sekitar di media sosial itu berkata, luahannya dibuat bagi mengelak lebih banyak berlaku pembaziran.

“Saya sudah hubungi kira-kira 10 rumah anak yatim nak sumbangkan makanan pada Ramadan ini. Tapi mereka bagitahu sudah terlebih-lebih makanan.

“Saya nak bagi, tapi mereka terpaksa tolak disebabkan sudah berlambak-lambak makanan,” katanya.

Pada masa sama, Maya, yang terkenal melalui filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Munafik dan Cun! itu juga mencadangkan agar orang ramai mengambil kira pelbagai aspek dalam menghulurkan bantuan.

Merujuk kepada individu tertentu yang mempunyai kelebihan daripada sudut ekonomi, Maya berkata, sumbangan boleh disalurkan misalnya dalam bentuk pendidikan atau aktiviti yang bermanfaat.

“Macam mana dengan pendidikan, aktiviti atau pendedahan di waktu senggang?

“Jika ada datuk atau mana-mana ahli perniagaan, bawalah anak-anak yatim ni merasa pergi bercuti di Thailand ke atau pantai dan bermain dengan haiwan laut.

“Ini hanya cadangan daripada saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS