Seni & Hiburan Malaysiakini

Warganet pertikai Vivy Yusof dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Usahawan tudung dan kosmetik terkemuka, Vivy Yusof dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Perkara itu dikongsikan melalui Facebook UiTM sebentar tadi.

Ucapan tahniah itu diterima daripada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah , Naib Canselor, serta pengurusan UiTM.

Namun, rata-rata netizen mempertikaikan pelantikan tersebut yang menyifatkan sebagai tidak sesuai.

"Apa jasa dia kepada UiTM sampai dapat ahli lembaga pengarah?" Soal pemilik akaun Muhammad Helmi Azahar.

Ku Awang Ku Mohamad pula bertanya: "Perlu ada penjelasan (dari UiTM) apa pun tahniah."

Ada juga pemilik akaun sosial media yang menyatakan ramai lagi ahli akademik yang lebih layak memegang jawatan tersebut.

Fairus Fai: Apa? Hahahaa macam tak ada orang lain ke. Berapa banyak research dia buat. Kalau setakat usahawan yang berjaya cuma sebagai ikon (usahawan) sajalah.

Firzz Radzi: Tahniah tapi kenapa? Mungkin ada sebab dilantik namun sekurang-kurangnya bagi sebab kenapa.

Faikah Ismail: Sejujurnya rasanya ramai lagi ahli akademik yang layak diluar sana, sedihnya.

Vivy merupakan pengasas FashionValet - sebuah syarikat berasaskan fesyen yang memasarkan lebih daripada 150 jenama tempatan di bawah satu bumbung.

Selain itu beliau juga merupakan pemilik kepada perniagaan dUCk yang merangkumi pelbagai barang wanita merangkumi tudung, alat solek dan alat tulis.

Sementara itu, Vivy melalui catatan di Instagramnya turut berkongsi berita tersebut.

Vivy berkata beliau akan menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Saya sangat menghormati Pengerusi dan Ahli Lembaga yang lain atas usaha (terhadap UiTM) yang mereka lakukan.

“Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman yang sama namun saya harap saya dapat menyumbang idea segar dan membawa pembaharuan kepada UiTM dan bermanfaat dalam industri pendidikan,” katanya.

Menurut Asianentrepreneur.org, Vivy merupakan graduan undang-undang dari London School of Economics, sebuah institusi pengajian terkemuka dunia di United Kingdom.

Dalam dunia keusahawanan, Vivy memenangi banyak anugerah antaranya Bella Business Award 2013, Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee untuk anugerah Great Women of Time Awards 2015, 60 Wanita Inspirasi Nona, Young Entrepreneur Award daripada Tribute To Women Malaysia dan banyak lagi.

Pada April 2017, Vivy disenaraikan sebagai salah satu daripada Forbes 30 Under 30 di Asia.