Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Doakan Dahlan pulih semula'
Diterbitkan:  May 27, 2019 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) menyatakan simpati mereka kepada Effa Rizan dan keluarga penyanyi popular era 1970-an itu ekoran serangan angin ahmar ke atas penyanyi terkenal, Dahlan Zainuddin, kelmarin.

Pengerusinya, Ayob Abd Majid, berkata Dahlan dikejarkan ke Hospital Selayang Selangor selepas diserang strok dan berharap kesihatan penyanyi Kisah Seorang Biduan itu kembali pulih.

"Dahlan merupakan teman sekerja sewaktu saya mula menceburi industri muzik di Sony Music (M) Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Effa memaklumkan suaminya yang berusia 78 tahun itu masih tidak sedarkan diri dan berharap orang ramai mendoakan kesihatan penyanyi terbabit.

“Sekitar pukul 6 petang kelmarin, suami saya tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

"Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan masih dirawat di wad kecemasan.

“Sehingga sekarang dia masih tidak sedarkan diri. Saya berharap agar semua dapat mendoakan kesihatannya pulih seperti sedia kala,” katanya.

Sebelum kejadian, Effa dilaporkan sedang berbual-bual sebelum suaminya itu tiba-tiba senyap dan tidak memberi sebarang reaksi sewaktu berbuka puasa petang semalam.

Dia berusaha mengejutkan suaminya yang disangkakan sedang tidur.

Ini merupakan kedua angin ahmar dialami Dahlan.

Turut dikenali dengan lagu Laguku Untukmu, Dahlan diserang angin ahmar kali pertama pada 2016 ketika berada di sebuah majlis berbuka puasa di Perlis.

Serangan kali pertama itu mengakibatkan Dahlan lumpuh sebelah kiri badannya.

Tahun sebelumnya, Dahlan juga dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor selama seminggu kerana jangkitan paru-paru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS