Paling Popular
Terkini

BELASUNGKAWA | Ingatan kembali pada tahun 1966. Ketika itu gua sedang menunggu keputusan peperiksaan LCE dalam tingkatan tiga. Tetiba satu irama muzik baru sampai. Gua yang baru belasan tahun ketika itu akan jadi ‘belia’ jika tidak kenal dengan irama muzik ini. Atau gua tak kenal apa itu James Bond. Walau pun menyebut nama pelakonnya salah – entah Saun Konnery atau entah entah Sin Konnery.

Ketika ini gua terbaca dalam Utusan Melayu (Jawi) mamat bernama John Lennon dan The Beatles dari Liverpool sedang mengharuk kota London. Ketika ini juga gua terbaca George Best penyepak bola dari Manchester United telah dinobatkan untuk menjadi ahli kelima The Beatles.

Di zaman ini rambut anak muda - yang jantan dan betina - jika ada sikap hormat diri akan menyimpan rambut panjang. Yang lelaki cuba memakai jambang. Semuanya cool dan semua menjadi super cool. Ketika ini gua terbaca di Utusan Melayu (Jawi) berita melaporkan M Zain (Labu) didenda 200 ringgit kerana mengunakan ganja di Singapura.

Ini era 60-an. Ini zaman gua jadi anak muda. Ini sebelum Woodstock. Hippies baru nak muncul. Di Eropah era ini dicap dan dinobatkan sebagai the sixties. Muzik, fesyen, bola, ganja dan seks mula berkenalan untuk meneraju dan mengubah dunia. Dunia sedang diasak dan diubah oleh gelombang anak muda.

Era enam puluhan ini diijab kabul dengan pesta demonstrasi pelajar siswa di kota Paris pada Mei 68. Demo merebak dari Paris ke London ke Berlin ke Tokyo ke Washington DC dan akhirnya sampai juga ke kampus Universiti Malaya pada tahun 1969.

Gua tulis ini untuk memberi gambaran latar belakang budaya yang membidani apa yang kita kenali hari ini sebagai Pop Yeh Yeh. Di zaman ini lahir A Ramlee dan The Ryhtm Boys, Jeffri Din dan The Siglap Five. Gua akan dilihat belot pada sejarah jika gua tidak merakamkan bahawa pemula semua ini adalah M Osman dengan Suzanna.

Dunia muzik Tanah Melayu mengelompak – a go go.

Untuk gua kugiran yang paling cool pastilah The Swallows dan Kassim Slamat. Ini kugiran dari Singapura. Dunia pop Tanah Melayu mengegelak dengan La Obe. Irama A go go menggoncang bumi Melayu. Faham tak faham bahasa Boyan bukan menjadi halangan untuk menjadi peminat setia Kassim Slamat. Gua anggap The Swallows dan Kassim Slamat sebagai kugiran yang paling counter culture bukan kugiran “belia bergerak maju”.

Ops, gua lupa perkataan kugiran ini muncul di zaman ini! Ia singkatan dari kumpulan gitar rancak.

Lamaran Jerman

Kelmarin lepas berbuka puasa gua dapat SMS dari seorang kawan. Mamat ini cikgu di Aswara. Pesanan ringkas: Kassim Slamat Lo Obe meninggal dunia. Al-fatihah.

Bila membaca teks ini maka segala ingatan datang kembali. Mustahil gua akan melupakan siapa Kassim Slamat. Mustahil gua akan melupakan zaman muda gua. Dari fun fair ke fun fair berebut rebut membeli tiket untuk melihat penyanyi pop dari Singapura. Tapi Kassim tak pernah sampai ke fun fair di Kuala Klawang, Jelebu. Justeru gua tak pernah melihat Kasim dalam tahun 60-an.

Tapi La Obe mustahil akan gua lupa. Ini lagu patah kasih. La Obe dalam bahasa Boyan ertinya “sudah berubah”. Ia kisah anak muda ditinggal kekasih. Kasih pertama yang gagal paling menyayat hati. Mustahil gua akan melupakan kekasih gua yang telah lari meniggalkan gua. La Obe adalah gua. La Obe muncul sebelum gua reka konsep Gagalis.

Gua berkelana tapi hati gua masih terpahat dengan La Obe. Di London gua faham apa makna George Best sebagai Beatles kelima. Gua terbaca bahawa sang Beatles sebelum bermain di Cavern Club Liverpool tahun 1961 pernah bermain di Star Club Hamburg Jerman pada tahun 1960.

Gua juga terbaca berita Kassim Slamat dan The Swallows pernah dilamar untuk bermain di sebuah kelab di Jerman.

Gua tahu berita ini awalnya setelah membaca Utusan tentang bagaimana La Obe menjadi top hit di Jerman. Diberitakan anak seorang diplomat di Singapura telah membawa pulang piring hitam rakaman La Obe. Lagu ini dimainkan di radio. Lalu La Obe meledak.

Aduh! Rupa rupanya bahasa Boyan ini seakan akan sama dengan bahasa Jerman. Maka La Obe menjadi hot, hot, hot.

Masuk tahun 1998, gua sudah pulang dari berkelana. Gua mahu bikin filem. Gua mahu anak muda bangun melawan. Lalu gua teringat dengan kisah cinta yang telah berubah. Gua mahu membuat homage (penghormatan) kepada kumpulan counter culture yang gua minati. Gua juga mahu mengingati kembali zaman cool sebelum Melayu suka jadi tok Arab. Lalu gua merancang dalam skrip agar Kassim Slamat muncul dalam Dari Jemapoh ke Manchestee.

Gua mahu La Obe menjadi lagu tema file Dari Jemapoh.

 Semua perjanjian diurus. Kassim Selamat datang ke Kuala Lumpur untuk peggambaran. Kami bertemu di flat gua di Jalan Permai Bukit Robson. Sambil minum kopi gua dan Kassim berlabun.

“Betul ada jemputan untuk The Swallows bermain di Hamburg, Jerman,” gua bertanya walaupun gua sudah tahu jawabnya.

Kassim menerangkan, ketika La Obe melonjak, Kassim bekerja di pelabuhan Singapura.

“Susah juga nak cuti masa itu. Kalau ada jemputan, main kat Melaka ke, saya curi-curi tak datang kerja.

“Apa jadi dengan pelawaan itu?” gua bertanya lagi.

“Susah tak tahu macam mana. Kita pun tak ada manager. Hal makan minum dan tempat tinggal, maka kami tak pergi. Kami tak pergi ke Jerman.”

Maka kami tak pergi. Maka kami tak pergi. Maka kami tak pergi.

Buruh pelabuhan Singapura

Ayat ini mengingatkan saya kepada Pete Best yang tidak pergi Bersama John Lennon ke Jerman. Hari ini dia dianggap sama seperti George Best sebagai ahli kugiran The Beatles kelima.

Apakah akan terjadi jika The Swallows menerima jemputan bermain di kelab di Jerman. Pasti The Swallows dan Kassim sama setaraf dengan The Beatles yang dijemput dari Liverpool. Ketika bermain di Hamburg, John Lennon belum jadi John Lennon. Tapi Kassim dan The Swallows telah ada rakaman piring hitam.

 Gua bayangkan anak muda Boyan mengubah muzik dunia setaraf dengan The Beatles. Apakah sejarah muzik pop dunia bertambah hasil kreativiti lima orang anak Boyan. Semua ini muncul dalam ingatan gua.

Dalam Dari Jemapoh, Kassim memakai jaket ketat merah, ini fesyen uniform kugiran Pop Yeh Yeh. Penggambaran dilakukan dalam studio Paragon di Jalan Chan Sow Lin. Dalam filem ini satu gig anak muda telah memberi penghormataan kepada Kassim kerana La Obe telah sampai ke top chart radio muzik Jerman.

Bank punk Caburrator Dung dan Joe Kidd menjadi pemuzik dalam filem Jemapoh. Malah gua telah mendapat kebenaran dari Kassim untuk membuat irama baru untuk La Obe. Lagu iti digarap oleh Joe Kidd dan kawan-kawan.

Kepada anak muda yang membaca tulisan ini, gua mahu beri tahu, seperti kata-kata Yadi (watak utama) “Masa muda jadi berani” atau “angan-angan ada tapi tak pernah jadi cita-cita. Dah tua jadi takut.”

Dialog yang kedua ini kata-kata watak polis yang menyesali hidup tuanya kerana ketika muda tidak melakukan sesuatu yang cool.

Pada hemat gua jika Kassim sampai ke Jerman dia bukan menjadi Beatles kelima. Kassim dan The Swallows akan menjadi setaraf dengan The Beatles.

Apa yang jelas ialah Kassim terus menjadi buruh di pelabuhan Singapura. Sejarah tidak dapat diubah. Gua hanya merakamkan sejarah. Sejarah wajib dilakukan ketika kita muda.

Al-Fatihah. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS