Malaysiakini Seni & Hiburan

Budi buka mata Naim Daniel

Ramieza Wahid

Diterbitkan

Pelakon Naim Daniel mengingatkan segelintir pihak supaya bersyukur kerana dilahirkan sempurna, sambil tidak lupa agar sentiasa bermuhasabah diri.

Naim yang memegang watak Budi dalam drama bersiri Pia, menjelaskan watak tersebut membuka matanya untuk memahami kesukaran pesakit palsi serebrum (celebral palsy).

“Saya banyak belajar daripada watak Budi dan ia benar-benar menyentuh hati.

“Budi mengajar saya supaya lebih bersyukur dilahirkan dengan sempurna dan tidak usah mengeluh,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Suria FM di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pia adalah drama terbitan JS Pictures menceritakan kehidupan orang kurang upaya (OKU) yang berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.

Drama yang kini disiarkan menerusi TV3 itu turut menampilkan ramai pelakon terkenal seperti Zara Zya, Aliff Satar dan Sheila Rusly.

Sementara itu, Naim juga menjelaskan orang yang sempurna sifatnya harus berusaha lebih keras melakukan sesuatu pekerjaan.

Nak ajar masyarakat

“Kita yang bernasib baik sepatutnya boleh usaha lebih, jangan terlalu duduk senang dan mengharapkan bantuan.

“Kalau mereka yang ada palsi serebrum juga boleh bekerja mencari rezeki, patutnya kita lebih daripada mereka,” katanya.

Penyakit palsi serebrum adalah masalah kesihatan yang terjadi akibat kerosakan otak sewaktu dalam kandungan ataupun selepas kelahiran.

Ia memberi kesan kepada pergerakan otot serta menyebabkan kesukaran mengawal postur pergerakan.

Pelakon filem Bisik Pada Langit itu juga menjelaskan bahawa dia tidak akan berhenti untuk mencabar dirinya memegang watak-watak sukar.

Tambahnya, jika diberi peluang dia ingin memegang watak sebagai seorang transgender.

“Saya ingin terus cabar diri, tidak mahu hanya berhenti setakat watak ini (Budi).

“Mana tahu ada rezeki saya teringin nak pegang watak transgender,” katanya.

Mengakui watak tersebut bakal menjadi buah mulut masyarakat, namun pelakon yang kian meningkat naik itu menjelaskan bahawa dia akan cuba untuk mengubah persepsi orang ramai.

“Isu ini akan sentiasa menjadi besar kerana pemikiran masyarakat tetapi saya percaya kita boleh mengubahnya walaupun menerusi lakonan.

“Sebagai artis tanah air, saya akan teruskan lakonan sukar agar dapat mengajar masyarakat benda baru,” katanya.