Bieber cabar Tom Cruise bertarung UFC
Penyanyi Justin Bieber secara mengejut mencabar aktor Tom Cruise bertarung dalam perlawanan Ultimate Fighting Championship (UFC).
Pelawaan itu dibuat Bieber melalui Twitter pada Ahad lalu.
“Tom jika anda tak menyahut cabaran ini bermakna anda seorang penakut dan tidak boleh hidup tenang,” katanya.
Penyanyi kelahiran Kanada itu turut memetik nama presiden UFC, Dana White pada ciapannya.
UFC merupakan sebuah organisasi terbesar seni bela diri campuran (MMA).
Menurut laman sesawang UFC, MMA merupakan sukan tempur yang membolehkan campuran pelbagai teknik pertarungan dan kemahiran dari sukan tempur yang lain.
Bagaimanapun, tiada sesiapa tahu alasan sebenar mengapa Bieber, 25 berhasrat beradu tenaga dengan pelakon berusia 56 tahun.
Cabaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna Twitter.
Ini kerana Biber diyakini tidak mampu mengalahkan pelakon Mission Impossible itu yang diketahui umum sering melakukan aksi lasak sendiri berbanding menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri.
Memetik CNN, kedua-dua selebriti itu belum memberi sebarang respon apabila ditanya berhubung ciapan tersebut.
Ciapan itu juga menarik perhatian bekas peserta UFC, Conor McGregor.
“Jika Tom Cruise lelaki sebenar yang sanggup terima cabaran ini, McGregor Sports and Entertainment sudi menjadi tuan rumah.
“Adakah Cruise berani untuk bertarung seperti dilakukannya dalam filem? Tunggu untuk ketahui jawapannya,” ciapnya.

