Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi terkenal, Yunalis Zarai - yang lebih dikenali sebagai Yuna - bakal membuat penampilan istimewa melalui karya terbarunya berjudul Does She.

Ia dianggap lain daripada yang lain kerana lagu berkenaan dihasilkan melalui kolaborasi dengan penyanyi serta pencipta lagu terkenal Korea-Amerika, Jay Park.

Yuna berkata, selain bakat dia selesa memilih Park, 32, sebagai teman duet kerana keikhlasan dipamerkan artis itu semasa menyokong karyanya.

"Saya rasa Jay Park sangat berbakat, dia boleh nyanyi, rap, menari, dan dia juga ada street credit di Seoul yang saya rasa sangat bernilai pada seseorang artis," katanya kepada Malaysiakini melalui aplikasi pesanan ringkas dari Los Angeles hari ini.

Menurut Yuna lagi antara faktor terpenting yang diambil kita sebelum dia bekerjasama dengan mana-mana artis ialah keikhlasan yang ditunjukkan mereka.

"Saya mahu bekerja dengan orang yang percaya kepada muzik dan bakat saya," katanya.

Bulan lalu, penyanyi lagu Crush itu mengumumkan dia dijadual menerbitkan album keempat berjudul Rouge pada 12 Julai ini.

Satu lagu dua lokasi

Album di bawah label Verve Forecast Records dan Universal Music Group itu dijangka memuatkan sehingga 11 lagu baru Yuna.

Penyanyi yang sedang mencipta nama di persada antarabangsa itu mengundang tanda tanya peminat apabila dia memuat naik imej melalui media sosial bersama Park di sebuah studio rakaman di Seoul, Korea Selatan pada 10 Jun lalu.

Ia menjadi tambah menarik apabila Park - yang turut dikenali sebagai salah seorang juri program realiti Asia's Got Talent - juga berkongsi imej Yuna di akaun Instagram miliknya.

Rata-rata peminat memberikan sepenuh sokongan selain menyatakan mereka tidak sabar untuk menantikan berita yang bakal dikongsikan penyanyi kesayangan mereka itu.

Setakat semakan Malaysikini pada petang ini, kedua-dua status di Instagram itu mendapat lebih 44,000 like manakala Park menerima lebih 177,000 like.

Berkongsi cerita lebih lanjut, Yuna, 32, berkata rakaman Does She tidak dibuat secara bersama sebaliknya melalui e-mel.

"Dia berada di Seoul dan saya di Los Angeles, jadi kolaborasi ini memang kami buat melalui e-mel sahaja," katanya.

Tambah Yuna, proses menyiapkan Dose She adalah antara cabaran paling sukar pernah dihadapinya setakat ini.

"Does She merupakan lagu daripada saya, dan penulis lagu Sam Farrar dari Maroon5, jadi lagu ni melalui banyak proses untuk sampai ke tahap versi akhir," katanya.

Katanya versi asal lagu itu agak berbeza berbanding edisi akhir yang digubah agar sesuai dengan gaya yang ingin ditampilkan dalam album Rouge.

Setakat ini, Yuna sudah menerbitkan dua lagu daripada album yang belum dilancarkan itu iaitu Forevermore dan Blank Marquee yang menampilkan penyanyi rap Amerika, G-Eazy sebagai rakan duet.

Sebelum ini, Yuna pernah muncul dalam album kumpulan K-pop, Epik High, untuk lagu No Different.

Lihat Komen
ADS