Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Memang populariti seseorang artis penting untuk membolehkan sesebuah filem mendapat sambutan hangat, namun bagi penerbit, Anwardi Jamil, ia bukanlanh satu-satunya faktor yang utama.

Kata Anwardi, memang ada kelebihan untuk penerbit mengambil artis yang memiliki satu atau dua juta pengikut di media sosial.

“Tetapi itu bukanlah kebimbangan saya, kerana yang lebih penting ialah, adakah artis itu mampu menjayakan watak yang saya beri,” katanya.

Justeru, bagi Anwardi, dia lebih cenderung untuk memilih artis berkaliber dan berbakat berbanding personaliti yang bergantung kepada paras rupa atau jumlah pengikut di media sosial saja.

Katanya kemampuan seseorang itu lakonan jauh lebih penting daripada penampilan mereka yang cuma lawa atau kacak.

“Itu lebih baik daripada ambil artis yang hanya tahu melawa tetapi disiplin tak ada, suruh datang penggambaran pun tak mahu,” katanya ditemui di majlis pelancaran filem Showtime 1958 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Showtime 1958 ialah filem yang diilhamkan daripada kisah benar artis-artis Studio Jalan Ampas di Singapura.

Penaja memilih-milih

Studio Jalan Ampas pernah menjadi pusat pefileman Malaya dan melahirkan ramai pelakon serta penghibur terkenal, termasuk Allahyarham P Ramlee, Aziz Satar, S Shamsuddin, selain ibu dan bapa Anwardi sendiri, iaitu Rosnani Jamil dan Jamil Sulong.

Filem tersebut menceritakan tahun-tahun getir buat anak seni di situ kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah untuk memperjuangkan kerjaya masing-masing.

Filem itu menggandingkan beberapa pelakon hebat seperti Shah Iskandar, Fatin Afifah dan Bell Ngasri.

Menurut Anwardi, ada sesetengah artis popular sebenarnya kurang berdisiplin dan berlagak diva kerana mahu mendapat layanan lebih daripada orang lain.

Pelakon dan tenaga di sebalik pembikinan Showtime 1958

Tambahan pula, kata penerbit drama Detik 12 Malam itu, pihak produksi juga perlu berdepan dengan kesukaran lain untuk menyiapkan karya mereka jika pelakon popular terbabit sibuk.

“Artis popular ini leceh sebab kita kena sesuaikan jadual mereka yang padat.

“Ada pula yang jenis diva. Belum tengok skrip lagi sudah tanya bayaran. Patutnya tengoklah skrip terlebih dahulu,” katanya.

Rosnani Jamil yang juga ibu Anwardi

Oleh sebab itu Anwardi berharap artis terbabit bekerja lebih ikhlas semasa melakukan tugas yang diberikan

“Kalau sudah berada di dunia seni, berilah yang terbaik dan kerja dengan ikhlas.

“Berusaha sehabis mungkin agar semua tugas yang diberikan dapat dibuat dengan terbaik dan semua pihak berpuas hati,” katanya.

Sementara itu, Anwardi mempersoalkan pihak penaja yang dilihat lebih tertarik untuk memberikan dana kepada filem berkonsepkan genre popular.

“Ramai penaja lebih gemar drama atau filem yang laku keras kerana mereka rasa ia boleh dijual.

“Cerita sejarah dan autobiografi macam Showtime 1958 susah nak dapat tajaan,” katanya.

Namun Anwardi berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kerana bersedia menaja filem yang diusahakannya itu.

“Kami sangat beruntung Finas beri peluang dan tertarik dengan jalan cerita Showtime 1958.

“Finas suka lakon layarnya dan mereka membantu saya dengan memberi lebih dana,” katanya.

Lihat Komen
ADS