Artis S’pura didakwa rayu Raja Yunika tarik balik laporan polis
Pelakon Indonesia Raja Yunika Putri mendakwa seorang artis Singapura yang terkenal di Malaysia merayu padanya supaya menarik balik laporan polis terhadapnya.
Raja Yunika mendakwa artis itu mencuri wangnya.
“Namun, apabila laporan dibuat dan pihak polis memanggilnya untuk siasatan, barulah dia mengaku perbuatannya.
“Dia merayu saya menarik balik laporan polis tapi atas nasihat beberapa pihak, saya tetap teruskan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Terdahulu, melalui portal berita Indonesia Haluankepri.com, melaporkan Raja Yunika yang juga pelakon Cinta Palsu Suaminya mendakwa menjadi mangsa curi dalam pada 7 Jun lalu.
Raja Yunika berkata ia berlaku di sebuah restoran makanan Jepun di Singapura, bukan kelab malam.
Katanya, artis lelaki itu bertemunya atas urusan kerja selain meminta nasihat mengenai peluang untuk mengembangkan bakat di Indonesia.
Kemudian, Raja Yunika berkata, dia ke kaunter untuk membayar bil dan meminta artis lelaki terbabit menjaga beg tangan yang ditinggalkan di atas meja.
“Selepas itu saya terus ke tandas dengan membawa telefon saja. Sebaik saya kembali ke meja, saya dapati dia sudah tiada dan sejumlah wang di dalam beg tangan sudah hilang.
“Apabila saya menghubunginya dan bertanya mengenai perkara itu, dia menafikannya,” beliau dipetik sebagai berkata.
Raja Yunika berkata, dia mula mengenali artis itu melalui Instagram sebelum Ramadan lalu.
Raja Yunika menjelaskan, dia bersetuju untuk membantu kerana terbabit bidang politik Indonesia selain aktif membantu anak-anak muda melalui pelbagai program motivasi di negara itu dan rantau Asean.
Sementara itu, usaha Malaysiakini menghubungi artis terbabit untuk mendapatkan penjelasannya hari ini tidak berjaya apabila telefon bimbitnya dimatikan manakala mesej WhatsApp tidak dibalas.

