Segelintir warganet percaya hantaran pelakon, Ariff Aziz di media sosial memberi bayangan mengenai hubungan dengan bekas isterinya penerbit A Aida.

Ariff atau nama penuhnya Wan Izma Ariff Abdul Aziz memuat naik satu kenyataan yang memperkuat spekulasi berkenaan.

“Jap! Peluang kedua? Kenapa aku rasa nak muntah ini,” katanya menerusi Instagram Story miliknya beberapa jam yang lalu.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, segelintir warganet percaya kenyataan Ariff ditujukan kepada bekas isterinya.

Terdahulu, penerbit sensasi A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang mengumumkan sudah berpisah dengan Ariff sejak 25 April lalu.

Bagaimanapun kedua-dua pihak memilih untuk tidak mendedahkan punca perceraian mereka.

A Aida dan Ariff telah berkahwin pada 21 Julai 2018 di sebuah hotel di Subang Jaya selepas tiga bulan menyulam hubungan cinta.

Pasangan yang berkahwin hampir setahun itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mengumumkan perceraian mereka, A Aida ditanya wartawan sekiranya menyimpan hasrat ingin merujuk semula dengan bekas suaminya itu.

Bagaimanapun, penerbit itu menjelaskan dia tidak berniat untuk merujuk kembali bersama Ariff.