Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Altimet kongsi pengalaman sebab takut Allah tarik ilmu

Meskipun memberi ceramah bukan kepakarannya, Altimet mahu cuba sedaya-upaya memenuhi setiap undangan agar dia boleh berkongsi pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

Penyanyi rap yang kini bergiat aktif sebagai komposer dan penulis lirik itu berkata, dia bimbang Allah akan menarik ilmunya sekiranya dia bersikap kedekut.

"Kalau tak berkongsi ilmu macam tak bersyukur. Allah boleh tarik balik ilmu diberi pada kita atau pandai setakat tu saja.

"Daripada perkara seperti itu terjadi, baik saya berkongsi pengalaman yang ada," katanya.

Altimet ditemui pada majlis pengumuman Konsert Amal Fest di pejabat Warner Music, Mutiara Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Pada konsert berkenaan, Altimet diundang untuk memberi taklimat berhubung aplikasi Recite yang diusahakannya.

Menurutnya, dia menerima banyak undangan yang memerlukannya bercerita kisah pahit manis ditempuhi dalam membina karier selepas dia mengotakan janjinya untuk bersara sebagai penyanyi 22 Novermber lalu.

Bagaimanapun, dengan merendah diri, Altimet berkata, dia sebetulnya berasakan tiada perkara bermanfaat boleh dikongsikan kepada umum.

“Bagi saya, saya cuma seorang penghibur yang belajar banyak perkara melalui kesilapan, tapi ada orang berasakan ada sesuatu yang mereka boleh belajar daripada saya,” katanya.

Altimet turut mengakui kelemahannya dalam memberikan taklimat.

“Ia bukan perkara saya biasa buat. Rasa prestasi tak bagus. Ada sekali tu saya ke Universiti institut Teknologi Mara dan beri taklimat pada pelajar jurusan perniagaan.

“Saya rasa macam lebih banyak bercerita bab muzik daripada perniagaan,” katanya

Untuk rekod, Atlimet sedang mengikuti pengajian sarjana muda bagi jurusan Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia.

Mengulas perkara, itu, kata Altimet, dia sengaja mencari sesuatu bagi mengisi masa lapangnya yang terluang.

“Saya tak nak nanti tiba-tiba rasa bosan dan nak menyanyi kembali,” katanya.

Ditanya sama ada ilmu diperoleh itu kelak dapat memberi nilai tambah pada sesi taklimat yang sering diadakannya, Altimet memberi respons positif: “Insya-Allah.”

“Perkara baru sebegini jika lebih banyak dibuat baru akan mahir,” tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS