Sofi Jikan terperanjat gagal ujian air kencing
Tidak pernah mengambil apa-apa dadah dan hanya merokok sesekali, pelakon terkenal mengaku dia terkejut apabila diberitahu ujian air kencingnya positif ganja.
Bercakap di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, Sofi Jikan berkata, keputusan ujian air kencingnya diberitahu oleh polis.
“Saya tidak pernah mengambil apa-apa dadah termasuklah ganja.
"Cuma saya adalah perokok sosial dan ada rakan-rakan yang menghulurkan rokok kepada saya,” katanya seperti dipetik Utusan Online.
Pelakon Lelaki Harapan Dunia itu memberi keterangan bersumpah dari dalam kandang saksi di depan majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Ditanya peguam belanya, Haniff Hassan, Sofi, 48, berkata dia menerima mesej pesanan ringkas daripada polis untuk hadir ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk memberi keterangan.
Katanya dia dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung kes pelakon Farid Kamil.
Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi siasatan lanjut dan diarah menjalani ujian air kencing. Di situlah dia kemudian dimaklumkan mengenai keputusan ujian tersebut.
Pada 13 Mei lalu Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Sofi - atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan - membela diri atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja pada 2018.
Keputusan itu dibuat Mohamad Ikhwan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membangkitkan kes prima facie pada akhir pendakwaan.
Majistret kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk membacakan keputusan perbicaraan.

