Bintang utama The Bodyguard, Kevin Costner mendedahkan mendiang Puteri Diana hampir-hampir berganding dengannya dalam filem sekuel filem berkenaan.

Costner berkata, mereka telah berbincang melalui telefon berkaitan peranan yang akan dibawakan kerabat diraja British itu dalam The Bodyguard 2.

“Saya teringat dia begitu sopan sambil bercakap di telefon dan bertanyakan soalan seperti; Adakah akan ada babak intim?” kata Costner.

Diana, isteri pertama Putera Charles, Prince of Wales, meninggal dunia pada 31 Ogos 1997 setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Paris.

Beliau antara kerabat diraja British yang paling popular dan sering digelar "wanita yang paling banyak diambil gambar di dunia".

Sementara itu, Costner yang juga merupakan pemenang Anugerah Oscar dan seorang pengarah berkata, Diana bertanyakan perihal peranannya dalam filem itu kerana kehidupannya dikawal rapi oleh istana.

The Bodyguard merupakan filem thriller romantik yang ditayangkan pada 1992 dan mencapai kutipan box office di Amerika Syarikat sebanyak AS$121 juta dolar.

Karya diarahkan Mick Jackson itu menyerlahkan nama Whitney Houston - yang sudah popular sebagai penyanyi - sebagai bintang filem pula.

Costner dalam The Bodyguard membawa watak sebagai agen Frank Farmer yang diarahkan untuk melindungi keselamatan bintang pop, dilakonkan oleh Whitney.

Sementara itu, Costner juga berterima kasih kepada seorang lagi kerabat diraja yang membantu dia membuka peluang untuk berinteraksi dengan Diana iaitu Sarah Ferguson.

“Sarah memainkan peranan penting. Saya hormati Sarah kerana dia orang yang menghubungkan saya dengan Diana.

“Dia adalah orang yang mengatur hal itu. Dia tidak pernah berkata. Bagaimana dengan saya? Saya juga seorang puteri. Dia sangat menyokong idea ini," katanya.

Konsep sekuel The Bodyguard 2 sepatutnya memaparkan Farmer (Costner) yang melindungi karakter Diana daripada paparazi sebelum kedua-duanya memiliki perasaan romantis.

Menurut Costner, dia menerima skrip itu pada Ogos 1997, iaitu sehari sebelum tarikh kematian Diana.