Penyanyi British, Joss Stone, mendakwa diusir keluar dari Iran sejurus selepas dia tiba di republik itu dalam lawatan yang merupakan sebahagian dari konsert jelajahnya.

Joss mendedahkan, dia sebenarnya langsung tidak merancang untuk mengadakan persembahan di negara yang melarang sesebuah konsert solo wanita diadakan.

Kata Joss, dia memahami undang-undang negara itu yang mengharamkan persembahan artis solo wanita, namun dia masih berhasrat untuk melihat Iran.

“Negara terakhir dalam senarai adalan Iran.

“Namun, kami sedia maklum tidak akan ada sebarang konsert umum kerana saya seorang wanita dan persembahan seperti itu diharamkan di negara ini,” katanya di Instagram.

Dakwa Joss, 32, pihak berkuasa Iran menyenarai hitam namanya kerana mereka beranggapan dia akan cuba mengadakan persembahan secara terbuka di negara berkenaan.

“Sejujurnya, saya tidak mahu ke penjara Iran atau cuba mengubah situasi politik negara yang saya lawati, bagaimanapun pihak berkuasa seperti tidak percaya kami tidak akan mengadakan persembahan terbuka.

“Selepas perbincangan panjang, pihak imigresen mengambil keputusan untuk menahan kami semalaman dan mengusir kami pada keesokan harinya. Sudah tentu saya kecewa,” katanya.

Lega tiada kejadian buruk

Bagaimanapun, Joss menyifatkan pihak berkuasa yang menguruskan kesnya telah menjalankan tugas dengan profesional sepanjang mereka berinteraksi.

Malah, Joss mengaku pihaknya bersalah kerana tidak menyediakan kertas kerja yang betul.

Mengikut undang-undang Iran artis wanita tidak boleh mengadakan konsert solo namun pada masa sama pemuzik wanita boleh ditampilkan sebagai sebahagian daripada anggota orkestra atau kumpulan muzik.

Akhbar Iran melaporkan komen Joss hari ini, bagaimanapun kerajaan belum memberi sebarang reaksi terhadap dakwaan itu.

Terdahulu, Joss memuat naik imej dia sedang menaiki penerbangan ke Pulau Kish, Iran, di teluk Arab yang merupakan zon bebas ekonomi. Status itu membolehkan lokasi tersebut dikunjungi mana-mana orang dari semua negara.

Nama Joss menjadi popular pada 2003 sebagai remaja berasal dari bandar kecil dengan suara yang besar dan bersemangat.

Dia - yang juga seorang pelakon - mempunyai album debut popular iaitu The Soul Sessions selain beberapa single popular termasuk Fell In Love With A Boy.

Sebelum ini, Joss berkunjung ke Syria untuk mengadakan persembahan di sana. Dia lega kerana tiada apa-apa perkara buruk berlaku sewaktu berada di sana.