Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Harga' Janna Nick tak berubah sejak 8 tahun lalu

Biarpun pernah beberapa kali merangkul anugerah, Janna Nick, berkata dia tidak pernah menaikkan harga bayaran lakonan kepada mana-mana pihak yang berminat mengambilnya beraksi di depan kamera.

Janna malah menafikan dakwaan bahawa ketika ini dia merupakan aktres wanita yang meletakkan harga paling tinggi berbanding pelakon lain.

Kata Janna, hingga kini, bayaran yang ditetapkan kepada mana-mana produksi sebagai upah untuknya adalah pada kadar sama seperti dia mula mula berlakon pada kali pertama lapan tahun lalu.

“Tak pernah naik harga sejak lapan tahun lepas. Ya, memang harga saya berikan masih sama tak pernah berubah,” katanya.

Janna ditemui pada majlis prapelancaran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) di Kuala Lumpur kelmarin.

Untuk rekod, selain beberapa kali dicalonkan dan memenangi gelaran artis popular, Janna - atau nama asalnya Nurul Jannah Muner - juga pernah memenangi tiga anugerah Drama Festival Kuala Lumpur serta satu Anugerah Telenovela.

Menurut Janna, 24, dia tidak menaikkan harga kerana mengambil kira bayaran yang diterima sesebuah syarikat produksi daripada stesen televisyen.

“Saya amalkan prinsip menang-menang (win-win situation) dengan syarikat produksi kerana sedia maklum stesen televisyen tidak menaikkan harga bayaran kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon drama Semerah Cinta Humairah itu mengaku dia terpaksa meletakkan harga berbeza buat syarikat yang ingin menggunakan khidmatnya sebagai duta produk.

“Untuk drama, kita kenakan bayaran begitu kerana ia mengikut episod, tapi untuk endorsement pula berlainan kerana ada kontrak yang mengikat sampai setahun,” katanya.

Lihat Komen
ADS