Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shima hiba diberi status asnaf
Diterbitkan:  Jul 17, 2019 10:35 PM
Dikemaskini: 3:04 PM

Walaupun hiba sebaik dimaklumkan termasuk kategori golongan asnaf, penyanyi Shima akur dia perlu menerima kenyataan pahit berkenaan status kehidupannya sekarang.

Kata Shima, atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, perkara itu disampaikan oleh pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mengunjungi kediamannya hari ini.

"Gugur jantung apabila diberitahu saya kini dikategorikan sebagai golongan asnaf.

"Tak dinafikan hiba juga mendengarnya tapi apa nak buat kerana ini kenyataan yang perlu saya terima," katanya.

Bagaimanapun, menurut Shima, pegawai tersebut ada memohon maaf kepadanya sebelum menyebut perkataan tersebut.

"Malah mereka memohon maaf kepada saya sebelum menyebut perkataan ini.

"Mereka juga berjanji akan buat sedaya upaya dan tengok apa yang LZS boleh bantu saya,” katanya dipetik Harian Metro.

Popular melalui lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki pada pertengahan 1990-an, penyanyi itu mengakui dia pernah merasai kehidupan mewah suatu ketika dulu.

"Memanglah dulu saya dijulang dan undangan persembahan pula tak putus diterima.

"Tapi sekarang saya terima hakikat sedang susah. Tak perlu saya ego nak menafikan perkara ini kerana ia ujian Allah.

"Saya tak pernah minta apa-apa daripada masyarakat. Tapi peluang tak diberikan untuk mencari rezeki. Malah persembahan yang bayar murah pun saya pergi," katanya.

Berkongsi lanjut, katanya, dia sudah lama tidak muncul dengan lagu terbaru. Penganjur pula lebih gemar mengundang artis baru untuk persembahan.

"Cuma lagu lama saya kerap dimainkan di radio tapi hasil royalti yang dapat bukanlah banyak sangat," katanya.

Shima juga mengalami kesukaran dari segi kesihatan kerana menderita sakit saraf serta sakit belakang.

Penyanyi itu mendapatkan rawatan secara berkala di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Terbaru, Shima berkata, dia juga mengalami sakit lemah pundi kencing dan perlu menggunakan lampin pakai buang untuk mengatasi masalah itu.

Mahu memohon PPR

"Makin lama kehidupan makin sukar kerana masalah sakit belakang semakin serius membuatkan saya terpaksa berehat seketika daripada berniaga.

"Untuk sembuh memang mustahil dan kalau buat pembedahan risikonya 50:50. Duit pun banyak keluar. Saya perlukan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk tujuan perubatan, manakala sewa rumah pula RM600.

"Wang simpanan saya ketika berniaga terpaksa dikeluarkan untuk tujuan perubatan dan lain-lain kegunaan," katanya.

Pada masa sama, Shima turut meluahkan hasrat untuk memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan berharap akan ada pihak sudi tampil membantunya.

Penderitaan Shima mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang mengunjunginya hari ini.

Elizabeth berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu meringankan penderitaan yang selama ini ditanggung Shima.

"Saya menghulurkan sumbangan peribadi dan peruntukan sebagai Adun buatnya.

"Selain itu, saya dengan bantuan ahli majlis di sini akan cuba cari lokasi yang sesuai untuk berniaga kerana lokasi sedia ada tidak mempunyai lesen.

"Saya harap peminat dapat bantu Shima. Dia pernah menghiburkan serta menggembirakan peminat dan bantuan sewajarnya perlu diberikan terhadapnya," katanya.

Lihat Komen
ADS