Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
13 maut studio animasi Jepun dibakar
Diterbitkan:  Jul 18, 2019 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Sekurang-kurang 13 orang dilaporkan terbunuh dalam kebakaran yang disyaki sengaja dimulakan oleh seorang lelaki di studio animasi Kyoto Animation Co, di Jepun hari ini.

Menurut polis, kebakaran itu - didakwa tercetus selepas lelaki terbabit menyembur sejenis cecair - turut mengakibatkan hampir 40 yang lain cedera, dengan sebahagian daripadanya tidak sedarkan diri.

Kebanyakan mayat ditemui di tingkat dua bangunan tiga tingkat berkenaan. Kebakaran dipercaya bermula kira-kira jam 10.30 pagi (waktu tempatan).

Polis turut menemui beberapa pisau di tempat kejadian.

Kyoto Animation popular dengan rancangan siri animasi televisyen seperti K-On!, Suzumiya Haruhi No Yuutsu, A Silent Voice, Clannad dan Kobayashi-san Chi No Maid Dragon.

Menurut polis, seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku memulakan kebakaran. Suspek merupakan antara orang yang mengalami kecederan dan telah dibawa ke hospital.

Sementara itu, penduduk berhampiran studio mendakwa, mereka terdengar beberapa letupan dan melihat kepulan asap hitam keluar dari bangunan.

Dia kemudian melihat beberapa mangsa dibawa keluar dari studio terbabit sambil ditutup dengan selimut.

“Seorang lelaki dengan rambut terbakar terbaring di lantai dan terdapat beberapa kesan tapak kaki berdarah,” kata saksi wanita berusia 59 tahun dipetik Japan Times.

“Saya terdengar bunyi letupan dan asap hitam manakala bau benda terbakar memang dahsyat,” kata seorang pengurus salon yang berusia 30-an.

Kyoto Animation - atau dikenali dengan nama singkatan KyoAni di Jepun - berpangkalan di Uji, Kyoto.

Menurut syarikat itu, bangunan terbakar itu adalah studio pertama mereka yang diasaskan pada 1981.

Ia menerbitkan sejumlah animasi yang sering menambat hati generasi muda, terutamanya pada era 2000-an.

Ramai peminat juga dilaporkan sering melawati tapak lokasi berkaitan karya-karya dihasilkan studio berkenaan.

Lihat Komen
ADS