Suspek menjerit sebelum nyalakan api pada 10 liter minyak
Suspek yang disyaki memulakan kebakaran di bangunan Kyoto Animation Co di Jepun minggu lalu dipercayai berjalan berjam-jam bagi memantau lokasi dan kawasan sekitarnya sehari sebelum dia melaksanakan rancangan yang mengakibatkan 34 orang terbunuh.
Shinji Aoba, 41, yang didakwa mencetuskan kebakaran di bangunan tiga tingkat di Kyoto itu juga dipercayai membeli bekas untuk mengisi petrol di sebuah kedai perkakasan yang terletak betul-betul 5km dari studio tersebut.
Menuru sumber keselamatan, dia kemudian meletakkan bekas itu di atas kereta sorong dan menolaknya ke kawasan bangunan yang disasarkan.
Kyodo News melaporkan, perjalanan itu mungkin mengambil masa lebih dari sejam, kerana bagi sesiapa yang cuba sampai ke studio tersebut dari kedai perkakasan perlu menggunakan jambatan untuk menyeberangi sungai dan melepasi kawasan kediaman yang padat.
Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat menunjukkan sekiranya suspek menggunakan kemudahan pengakutan awam selepas kejadian tersebut.
Sebuah kamera dipasang kira-kira 1km dari pejabat utama studio terbabit juga merakam imej lelaki berpakaian serupa seperti Aoba menolak kereta sorong kira-kira jam 2.30 petang pada 17 Julai lalu.
Penduduk berhampiran pula mendakwa melihat seorang lelaki menyerupai gambaran seperti Aoba berada berhampiran taman berdekatan studio.

Penyiasat pula mendapati, Aoba - yang dipercaya menginap di Saitama, berdekatan Tokyo - menghabiskan masa di kafe Internet di Kyoto beberapa hari sebelum melakukan pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Polis mengesyaki suspek menggunakan Internet untuk mengkaji kawasan sekitar studio.
Pada 18 Julai lalu, Aoba dipercayai membeli dan membawa 40 liter gasolin masuk ke studio sebelum menjerit “Mati!” sebelum menyalakan kira-kira 10 liter minyak mengakibatkan kematian begitu ramai mangsa.
Daripada 34 korban kebakaran itu, 21 adalah wanita. Semua mangsa berusia antara 20-an hingga 50-an.
Sementara itu, pengarah utama studio dan pengarah filem serta televisyen Yasuhiro Takemoto, 47, dikhuatiri antara 34 yang terkorban.
Bapa Takemoto berkata, dia menghubungi telefon genggam anaknya selepas mengetahui serangan tersebut tetapi tidak berjaya. Dia kemudian dipanggil polis untuk memberi sampel DNA.
“Saya menangis dan menangis. Saya keletihan akibat menangis,” katanya.
Atas permintaan presiden syarikat, Hideaki Hatta, polis setakat ini tidak mendedahkan nama mangsa yang sudah dikenal pasti.

