Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kelab malam Jakarta buat ceramah agama bulan depan
Diterbitkan:  Jul 29, 2019 2:50 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Beberapa hari lagi sejumlah kelab malam di Jakarta, Indonesia, dijangka memberi suasana berbeza kepada pengunjung berbanding hari-hari sebelumnya.

Jika sebelum ini kelab-kelab malam diwarnai dengan kemilau lampu pelbagai warna dan dengungan muzik membingit telinga, mulai Ogos ini ruang itu akan bergema dengan ceramah agama.

Seorang pendakwah dikenali sebagai Miftah Maulana Habiburrahman dijangka akan mula berceramah di kelab-kelab malam di Jakarta mulai 8 Ogos ini.

Dan untuk merealisasikan niatnya itu, Miftah, 37, juga mendakwa mendapatkan izin daripada pemilik kelab-kelab yang berkenaan.

Dia juga memohon kebenaran daripada Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

“Saya akan memulakan ceramah di salah satu kelab Jakarta. Waktunya bermula pada jam 5 petang. Alhamdulillah sudah diizinkan pemiliknya.

“Nah, sekarang saya minta izin juga pada gabenor supaya lebih banyak lagi tempat-tempat kelab malam yang boleh saya masuki untuk mengenalkan Allah kepada mereka,” katanya dipetik JabarNews.com.

Harap mendapat hidayah

Terdahulu Miftah dan Anies bertemu di Masjid Fatahillah di Jakarta ketika dia mengisi ceramah bulanan masjid selepas solat Zuhur.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Miftah melaksanakan dakwahnya di tempat-tempat seperti kelab malam.

Dia sudah beberapa kali melakukan dakwahnya di beberapa daerah di Pulau Jawa sebelum ini.

“Kalau di ibu kota ini yang pertama kali, jadi saya minta restu dulu pada pak Anies,” katanya.

Kata Miftah, Anies sebenarnya terbuka jika sesiapa pun ingin berdakwah. Justeru, dia menafikan bahawa dakwah Anies hanya terbuka pada satu golongan.

Sementara itu, Anies dilaporkan menyambut baik rancangan Miftah.

“Miftah boleh masuk ke dunia malam tak kira siang atau malam. Tentu bukan hanya diizinkan, tapi ini adalah hak warganegara.

“Miftah diberi ruang untuk berbuat demikian agar lebih ramai yang mendapat manfaat dan insya-Allah dia akan menghantarkan hidayah kerana hal itu datangnya dari Allah,” katanya.

Anies juga berkata, dia berharap dengan kehadiran Miftah di kelab-kelab malam akan membuatkan suasana di ibu kota Indonesia itu lebih tenang.

“Kami bersyukur, saya berharap kita boleh membangunkan suasana Jakarta yang teduh, aman dan damai untuk semua,” katanya.

Lihat Komen
ADS