Pelakon Zizie Ezette menafikan dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ibu seperti didakwa segelintir pihak yang turut menyifatkannya terlalu bergantung kepada pengasuh berhubung soal penjagaan anak.

Sebaliknya kata Zizie, tugasnya bukan sekadar melahirkan anak tetapi menganggap hal itu sebagai satu amanah besar dikurniakan Allah padanya yang harus dijaga sebaik-baiknya.

“Silap sama sekali andaian mereka itu kepada saya.

“Bukan seperti yang anda fikir, hanya beranak tapi lain-lain pengasuh buat. Adoiyai, jauh sama sekali pandangan orang tu.

“Tugas saya sebagai ibu adalah lebih besar kerana mereka adalah amanah Allah buat saya sebagai seorang ibu,” katanya.

Menurut Zizie, 40, walaupun menggunakan khidmat pengasuh, dia sentiasa memberi sepenuh perhatian malah mengambil tahu perkara dilakukan anak-anak pada setiap masa.

“Mungkin bukan kerja saya yang mencuci pakaian anak-anak, merapikan tempat tidur mereka dan tugas membersihkan juga bukan tugas saya.

“Tetapi saya mengambil tahu semua perkara dari A to Z berkenaan anak-anak.

“Saya sentiasa bersama anak dan berikan sepenuh perhatian dan pupuk kasih sayang secukupnya pada mereka,” katanya melalui perkongsian di Instagram miliknya.

Zizie mendirikan rumah tangga dengan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin pada Disember 2009.

Dia dan pasangannya dikurniakan kembar lelaki berusia hampir dua tahun, Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette serta seorang anak perempuan, Aalisa Belle Izette, lima bulan.

Pasangan itu turut memelihara dua anak angkat iaitu Nayla Nurjenna, 3 dan Aaric Zayn Izette, setahun.

Kakak kepada pelakon Shaheizy Sam itu juga memaklumkan dia sebenarnya tetap bersyukur kerana meskipun menggunakan khidmat pengasuh, kesemua anaknya menjalin hubungan yang rapat dengannya.

“Alhamdulillah, anak paling rapat dengan saya walaupun ada yang berpendapat bila mereka ada pengasuh, mereka akan lebih rapat dengan pengasuh.

“Ada juga yang berpendapat, anak-anak akan ingat pengasuhlah ibu mereka, silap sama sekali andaian mereka pada saya,” katanya.