Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebagai pendatang baru, Ezly Syazwan tahu dia perlu banyak belajar dan berpegang kepada petua orang yang lebih berpengalaman.

Salah seorang tokoh yang boleh menjadi tempat dia mencari ilmu ialah komposer berpengalaman, Johari Teh, yang berpesan agar mendidik diri untuk sentiasa merendah hati.

Kata Ezly, Johari banyak mengingatkannya agar menjaga hubungan dengan orang di sekeliling walau setinggi mana pun kedudukannya suatu hari nanti.

“Pak Cik Johari selalu pesan pada saya, walau tinggi mana pun kita berada, kita kena selalu menunduk, sentiasa merendah diri,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut penuntut tahun akhir di Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam itu, hal berkenaan termasuk menjaga hubungan baik dengan artis lebih senior dan tidak melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan nama sendiri.

"Itu yang saya pegang sampai sekarang,” katanya.

Sebagai menguar-uarkan kemunculannya dalam arena muzik tempatan, Ezly - atau nama penuhnya Ezly Syazwan Shah Mohd Joeelleyno - itu mempertaruhkan single ciptaan sendiri, Kau Bukan Dia.

Tak pernah putus cinta

Namun, Ezly, 20, memaklumkan sebelum ini hasrat awalnya bukanlah menjadi penyanyi sebaliknya mahu berkecimpung dalam dunia muzik sebagai komposer.

Pada masa sama Ezly sedar untuk mengukuhkan namanya dalam dunia seni dia tidak harus bersandar hanya pada satu bakat semata-mata.

“Saya bukan saja mahu dikenali sebagai penyanyi bahkan juga berbakat sebagai pencipta lagu,” katanya.

Justeru, dia cuba menimba sebanyak mungkin pengalaman daripada Johari sejak bertemu kali pertama dengan komposer itu yang juga idolanya kira-kira enam bulan lalu.

“Pak Cik Johari orang yang sangat berpengalaman, sebab tu saya amat kagumi dia.

“Saya dapat belajar banyak perkara antaranya macam mana untuk proses sesebuah lagu untuk dirakam dari A hingga Z,” katanya.

Untuk rekod, bapa Ezly, Mohd Joeelleyno, menjadi individu bertanggungjawab memperkenalkannya dengan komposer berkenaan sebelum ini.

Johari adalah nama yang tidak asing lagi dalam arena muzik tempatan, antaranya kerana mencipta lagu Tiada Kepastian nyanyikan Ziana Zain dan Jika Kau Rasa Getarnya (Slam).

Sementara itu, mengulas Kau Bukan Dia, Ezly berkata, lagu berkisahkan putus cinta itu dihasilkan bukan berdasarkan pengalaman sendiri.

Katanya, dia cuma menggunakan imaginasi dan sengaja memilih tema universal untuk mencuba nasib dalam membeli jiwa peminat.

“Saya tak pernah putus cinta.

“Alhamdulillah respons daripada single ni amat positif di YouTube dan saya tak sabar untuk hasilkan single baru dan - siapa tahu - mungkin juga album jika ada rezeki,” katanya.

Lihat Komen
ADS