Coretan ilmuan hadis selepas tonton Demi Tuhan Aku Bersaksi
Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad dan sarjana hadis Dr Kamilin Jamilin adalah antara golongan agamawan yang sempat menonton Demi Tuhan Aku Bersaksi, yang baru-baru ini mengundang kontroversi kerana didakwa memberi gambaran buruk pada pelajar serta pusat pengajian tahfiz.
Hari ini Kamilin yang merupakan pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkongsi pengalaman itu di laman Facebooknya.
Antara yang dikongsinya ialah bagaimana pelakon Yana Samsudin - sebahagian daripada produksi drama itu - yang sebak ketika tayangan.
“Puan Yana Samsudin adalah sebahagian dari penerbit telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi yang hangat dikritik dan mangsa sikap melatah dan tergesa-gesa menghukum oleh sebahagian masyarakat.
“Semasa menonton semalam pun, beliau (Yana Samsudin) kelihatan sebak, mungkin mengenangkan tohmahan yang menimpanya,” katanya.

Kamilin turut berkongsi tangkap layar komen yang ditinggalkan Yana di hantaran sebelumnya, yang menjelaskan dia sebak kerana sedih atas kritikan yang dilempar terhadap dirinya dan keluarga susulan drama itu.
"Terima kasih Dr. Saya sebak tadi sebab teruk seluruh ahli keluarga dihina, dikafirkan dan dihukum masuk neraka, seminggu tanggung fitnah," katanya.
Selain Kamilin Zulkifli, turut hadir dalam sesi tayangan itu ialah Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan Mohd Dailami Che Age, selain wakil dari syarikat produksi dan RTM.
Demi Tuhan Aku Bersaksi diterbitkan Prokuya Studios dan berkisahkan seorang mak nyah - watak dijayakan pelakon Syafie Naswip - cuba kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat dan mendalami ilmu agama.
Kritikan terhadapnya bermula apabila iklan acah dan sinopsisnya disiarkan di internet.
Antaranya daripada Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman yang berkata, paparan watak songsang hanya mencemarkan imej institusi tahfiz.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Kesihatan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad pula mempertikaikan keperluan drama itu menyorot institusi tahfiz manakala pemimpin PAS Riduan Mohd Nor menyifatkan drama tersebut sebagai sampah yang mengangkat isu “persemburitan dalam kalangan institusi tahfiz.”
Bagaimanapun, menurut Pegawai Perhubungan Media RTM Nurhaninah Ayub, isi kandungan telemovie tersebut tiada niat memaparkan sisi negatif pusat tahfiz, sebaliknya sarat mesej berguna yang boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat, manakala penerbitnya Fadzil Zahari mendakwa ada pihak memanipulasi babak-babak tertentu bagi memburukkan drama itu.
Mengulas lanjut, Kamilin berkata dirinya dan mufti Wilayah Persekutuan cuba menjadi 'jambatan' antara agamawan dan dunia hiburan.
Untuk rekod, Zulkifli sebelum ini turut diundang menonton Polis Evo 2 selepas filem itu didakwa memberi gambaran buruk terhadap Islam.
"Jambatan ini masih baru, masih banyak ruang untuk menjayakannya. Sudah pasti ia masih belum benar-benar mampan. Namun alhamdulillah ada sumbangan dan cahaya yang sangat positif.
"Sejujurnya saya atau sahibus samahah mufti jarang nak tengok drama sebegini dengan masa yang sangat terhad... Namun cerita Demi Tuhan Aku Bersaksi ini saya dapati banyak nilai positif dan pengajaran, dan langsung tak kelihatan menjatuhkan imej institusi tahfiz.
"Saya tersentuh apabila merenung sebahagian pengajaran cerita ini, iaitu kadang-kadang kita yang sayang agama, dan yang belajar agama inilah yang membuatkan insan yang diuji di luar sana menjauhi jalan hidayah. Namun pasti akan ada hamba Allah lain yang mampu 'memimpin tangan' mereka menjadi asbab hidayah," katanya lagi.

