Pelakon dan penerbit Rosyam Nor berkata, dia sudah tidak berminat untuk menerbitkan filem buat masa ini.

Menurut penerbit kepada Suhan Movies & Trading itu, rezeki dan tuahnya kini lebih kepada bisnes peruncitan yang diusahakan iaitu St Rosyam Mart.

“Ramai tanya, tak nak buat filem ke? Saya memang tidak ada rancangan nak buat filem sebab saya tak ada ‘luck’ (tuah) buat filem, lagipun filem kena lebih fokus dan ambil masa lama.

“Jadi lebih baik, saya fokus hasilkan drama dan perniagaan peruncitan. Sebab itu saya malas hendak buat filem, kita buat yang menguntungkan sahaja,” katanya seperti dipetik mStar Online.

Namun begitu kata pemilik nama penuh Mohamed Noor bin Shamsuddin, dia tidak menolak tawaran berlakon jika mendapat tawaran yang sesuai.

“Lakonan saya masih teruskan kalau ada tawaran sesuai saya pasti tidak menolak.

“Insha Allah tidak lama lagi filem lakonan saya Motif dan JRevolusi 2 akan menemui penonton,” katanya.

Untuk rekod, Rosyam sebelum ini menubuhkan produksi RK Screen Sdn Bhd dan menerbitkan dua filem iaitu Balistik dan Isyarat Cinta

Menerusi Suhan Movies dan Trading pula, antara drama popular yang telah diterbitkan adalah Selafaz Cinta, Cik Reen Ngok Ngek dan banyak lagi.

Rezeki bertambah luas

Tambah pelakon filem KL Gangster 2 itu lagi, perniagaan St Rosyam Mart kini menerima sambutan hangat sejak tular tahun lalu.

“Lepas tular dengan macam-macam tuduhan, mengaitkan saya dengan pelbagai fitnah dan isu perkauman, saya fikirkan bisnes ini akan terganggu, tapi rupanya ramai yang datang.

“Rezeki semakin luas dan saya percaya jika kita berbuat baik dan mempermudahkan kehidupan orang lain akan ada balasan daripada Allah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa individu mendakwa pasar raya berkenaan dimiliki pengusaha Tionghua dan juga dijadikan tempat untuk mengedar dadah.

Malah, Rosyam didakwa hanya menjadi duta bagi tujuan menarik perhatian pelanggan dan dipergunakan oleh pemilik pasar raya itu.

Bagaimanapun, Rosyam telah menafikan dakwaan itu dan berkata dia turut miliki 10 peratus saham terhadap perniagaan runcit tersebut.