Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Bila orang buat silap perbetulkan, bukan halau'
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 10:47 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Peserta program Dakwah Milenia musim ke-2, Wan Dazrin menggesa orang ramai tidak ‘menghukum’ pendakwah kontroversi Zakir Naik dengan mengusirnya dari negara ini.

Sebaliknya, Wan Dazrin secara berkias menyeru memafkan seseorang yang melakukan kekhilafan serta membantunya memperbetulkan perbuatannya.

“Apabila kita nampak orang buat silap perbetulkanlah, bukan halau keluar, label dan sebagainya,” katanya di Instragram.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menimbulkan kemarahan masyarakat apabila menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai "tetamu lama" di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

Zakir membuat kenyataan tersebut pada 9 Ogos lalu pada satu ceramah di Kelantan sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya yang menginginkan beliau keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, Zakir mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.

Susulan itu, beberapa ahli politik seperti Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gonbind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, Kula Segaran dan bekas menteri Rais Yatim, menyokong Zakir segera diusir.

Mereka antara lainnya menyuarakan kebimbangan mengenai ceramah Zakir yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama selain Islam di negara ini.

Sementara itu, Wan Dazrin atau nama penuhnya Wan Dazrin Wan Din menyeru agar semua pihak berhenti daripada mengeruhkan lagi keadaan.

“Cukup-cukuplah sebarkan kebencian tu,” katanya.

Kata Wan Dazrin, Zakir merupakan satu-satu ulama yang tidak ada tandingannya atas agama perbandingan dalam peredaran masa kini.

“Semoga Allah merahmati Dr Zakir Naik atas segala usaha dakwah beliau,” katanya.

Lihat Komen
ADS