Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Maszlee harap Raatchasi beri semangat pada guru buat perubahan
Diterbitkan:  Sep 6, 2019 11:19 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berharap agar filem Tamil, Raatchasi, dapat memberi inspirasi kepada guru di negara ini untuk mereka memainkan peranan melaksanakan perubahan dalam sistem pendidikan.

Menggunakan siri ciapan di Twitter, Maszlee menyuarakan harapannya itu selepas menerima surat penghargaan daripada pelakon utama filem berkenaan, Jyothika Saravanan, yang membawa watak seorang guru besar, Geetha Rani.

Surat Jyothika itu kemudian diciap suaminya yang juga seorang pelakon dan penerbit, Suriya Sivakumar.

"Cikgu-cikgu pun ramai yang menonton.

"Saya sangat berharap aspirasi pendidikan yang baru ini dapat kita terjemahkan dengan keterlibatan semua pihak, terutama sekali cikgu-cikgu, the real change maker, ciapnya di Twitter hari ini.

Maszlee sebelum itu memuji Raatchasi kerana mempunyai garis cerita luar biasa selain watak dimainkan Jyothika.

Beliau juga berkata, filem itu menggambarkan dasar dan perubahan yang sudah dibuat untuk dilaksanakan dalam pendidikan negara.

Dapat peluang sama

Selain itu Maszlee juga berkata, Raatchasi antaranya mengetengahkan isu pelajar gagal dan bagaimana Geetha berjaya menyelesaikan masalah dihadapinya dan membawa perubahan di sebuah sekolah di Tamil Nadu, India.

Kisah itu muncul ketika isu persekolahan dan peranan guru mengundang perhatian di negara ini.

Meskipun ditayangkan di India, Maslzee berkata, mesej dan aspirasi yang dikongsi dalam filem arahan Sy Gowthamraj itu boleh diterima secara global.

Jyothika dalam suratnya berkata, produksi Raatchasi begitu teruja kerana Maszlee meluangkan waktu untuk menonton sebuah filem Tamil yang dihasilkan bertujuan membawa perbezaan dalam sistem pendidikan negara itu.

“Sebanyak 90 peratus kru belajar di sekolah kerajaan, ini pengalaman hidup sebenar yang diletakkan di atas seluloid, bukannya filem bercirikan keuntungan.

“Apa yang kita mahukan sebagai satu pasukan ialah generasi masa depan harus berdiri teguh atas sistem pendidikan berasaskan kualiti yang kukuh, dan mendapat peluang yang sama untuk menunjukkan keberanian mereka,” katanya.

Raatchasi, filem berdurasi dua jam dan 14 minit itu menjadi tular dalam kalangan netizen terutama Melayu kerana mereka tertarik dengan jalan penceritaan ditonjolkan.

Lihat Komen
ADS