Paling Popular
Terkini

Menganggap dirinya tidak bersalah kerana bersuara lantang mengecam kerajaan mengikut lunas-lunas perlembagaan, Ellie Suriati Omar mengakui sejak 10 bulan lalu dia hanya mendapat satu tawaran berlakon.

Pengarah dan pelakon yang kini menjadi aktivis politik itu mengesyaki punca tawaran tidak kunjung tiba itu kesan wujudnya kebimbangan melampau sesetengah pihak terhadap apa diperjuangkannya akhir-akhir ini.

Pada masa sama Ellie menegaskan, dia masih mampu memberikan sentuhan seni sebagai sutradara.

“Saya masih lagi boleh mengarah, tapi tak ada siapa tawarkan untuk mengarah. Untuk tawaran berlakon pula, hanya satu yang diterima daripada seorang pengarah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bintang yang mula menjadi perhatian selepas muncul dalam filem Spinning Gasing kira-kira 19 tahun lalu, Ellie berkata, apa yang dilakukannya tidak menyalahi peraturan.

“Bukannya saya nak suruh sesiapa pergi berperang," katanya.

Kelibat Ellie mula kelihatan dengan ketara selepas BN gagal mendapat kepercayaan majoriti rakyat negara ini untuk terus menjadi kerajaan pada 9 Mei 2018.

Apabila PH mengambil alih Putrajaya, Ellie, 49, mula tampil sebagai salah seorang 'wirawati' dalam kumpulan diketuai anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

Tak pernah putus asa

Susuk itu juga hadir memberikan sokongan kepada Najib Razak apabila bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah pada Julai tahun lalu.

Kehadirannya itu sebagai tanda membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Najib yang disifatkannya pemimpin terbaik untuk memelihara kebajikan bangsa Melayu, agama Islam selain suka menderma. 

Bagaimanapun Ellie tidak lagi kerap dilihat menyertai aktiviti politik pembangkang sejak akhir-akhir ini dan ia mencetuskan tanda tanya sama ada perjuangannya sudah kendur atau tidak.

Sesetengah pihak pula menyangka Ellie terpaksa tunduk sedikit kerana berdepan dengan masalah tawaran berlakon atau mengarah gara-gara kelantanganya terhadap PH.


Baca Ellie ke mahkamah lagi... dan menangis


Ditanya sama ada perjuangannya demi pemimpin yang ketika ini terpalit skandal rasuah itu menimbulkan perasaan sesal, Ellie bagaimanapun menafikannya.

“Saya tak pernah berputus asa dengan apa saya buat.

"Memang suami (Azri Iskandar) juga turut terkena tempias. Dia dapat satu tawaran misalnya, lepas tu tak ada apa-apa hingga tiga atau lima bulan kemudian.

“Kami sampai perlu berdikit-dikit atau bercatu dengan pendapatan yang diterima sebelum ni.

"Tapi tak mengapa asalkan perjuangan untuk menegakkan kepentingan bangsa, agama dan rakyat dapat diteruskan," katanya.

Pun begitu, Ellie berkata, masih ada syarikat produksi atau pelakon yang sudi meminta khidmatnya untuk sesi tunjuk ajar (coaching) secara perseorangan walaupun ia tidak 'seghairah' tawaran mengarah atau lakonan yang diterima sebelum ini.

Pelakon yang turut muncul dalam filem Jangan Tegur itu juga menegaskan, dia tidak mendapat sebarang habuan kerana menyatakan sokongan terhadap Najib.

Untuk membuktikan keikhlasannya dalam perjuangan, Ellie turut mencabar pihak yang membuat tuduhan dia mendapat dedak agar membawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sekiranya dia ada menyembunyikan wang yang dimaksudkan.

“Saya kecewa bila orang kata saya terima duit daripada Najib hingga ada duit berkoyan-koyan, sedangkan tak ada. Datanglah tengok rumah, bawa SPRM,” katanya.

Ellie juga diminta mengulas bagaimana untuk mengubah persepsi ramai terhadapnya.

“Saya masih saya. Tapi orang yang beri persepsi sedangkan saya rasa sebagai anak seni memang tepat untuk saya bersuara, orang boleh dengar kerana tiada kepentingan politik.

“Sebagai pengkarya, saya juga dapat lihat isu yang melingkari masyarakat walaupun kita tahu banyak drama Melayu tampilkan sisi romantis,” katanya.

Lihat Komen
ADS