Diuji kehilangan ayah dan dua abang kandung disebabkan merokok, pengacara terkenal Aznil Nawawi tampil memberi peringatan mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan.
Sambil menumpahkan air mata, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil menyeru agar perokok tegar segera berhenti daripada merokok.
“Saya nak bagi tahu semua (perokok), berhentilah daripada merokok. Ayah Pak Nil pergi sebab merokok, kedua-dua abang pun pergi sebab merokok,” katanya.
Dia berkongsi kisah mendukacitakan itu melalui Insta Story miliknya yang kemudian dikongsikan oleh sebuah pengguna Instagram.
Pada 17 September lalu, Aznil kehilangan abangnya, Azharnim Nawawi, 61, yang menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung dengan penyakit kanser
Allahyarham Azharnim meninggal dunia hampir sebulan selepas pemergian seorang lagi abangnya, Azmir Nawawi pada 19 Ogos lalu.
Kata Aznil lagi, seorang perokok wajar memikirkan masa depan dan perasaan anggota keluarga selain ibu dan bapa sekiranya kesihatan mereka terjejas.
“Tolonglah kasihan pada adik-adik, mak dan ayah, kalau boleh berhenti, berhentilah. Pak Nil sangat rindu pada abang,” katanya.
