Peserta buta hidap autisme juara America Got Talent
Meskipun tampil berbeza daripada orang lain, peserta America Got Talent (AGT) yang buta dan menghidap autisme berjaya memikat juri serta orang ramai dengan bakatnya bermain piano sehingga muncul sebagai juara program realiti itu.
Kodi Lee, merangkul gelaran juara dalam pertandingan musim ke-14, yang berlangsung Rabu lalu dan mengalahkan kumpulan Detroit Youth Choir.
Kemenangan itu membolehkan Lee membawa pulang wang bernilai AS1 juta (RM4.2 juta) dan berpeluang menjadi bintang utama dalam persembahan di Paris Hotel Casino, Las Vegas bermula 7 hingga 10 November depan.
Lee yang duduk tidak jauh daripada ibunya, Tina ketika itu berkata, kemenangan itu “sukar dipercayai” selain “luar biasa”.
Pertandingan itu diadili juri Simon Cowell, Gabrielle Union, Julianne Hough dan Howie Mandel.
Lee, 23, berjaya mengungguli sembilan peserta lain melalui lagu duet You are the Reason bersama pemenang X Factor dan tiga kali calon anugerah Grammy, Leona Lewis.
Terdahulu, pada malam sebelum AGT, Lee, mengagumkan penonton dengan lagu Lost Without You - nyanyian asal oleh Freye Ridings.
Sementara itu, Tina, berkata, selepas menyedari bakat dimiliki Lee, dia berusaha untuk membuka laluan untuk anaknya berjaya.
“Saya menyedari dia seorang penghibur. Melalui muzik dan persembaha, dia boleh meneruskan kelangsungan hidup kerana apabila anda dilahirkan sebagai autistik, ia sukar untuk melakukan apa yang orang lain boleh buat.
“Lee menyelamatkan dirinya apabila boleh bermain muzik,” katanya.
Tina juga membayangkan bagaimana Lee akan membelanjakan wang yang dimenanginya.
“Kodi berhasrat untuk memiliki piano dalam pelbagai warna,” katanya.

