Juara AF2015 Sufie Rashid sah bergelar suami
Juara Akademi Fantasia 2015, Sufie Rashid, akhirnya selamat bergelar suami kepada pasangannya dengan sekali lafaz sebentar tadi.
Sufie atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid mengikat tali pertunangan dengan Nurulain Md Yusof, seorang pengasas produk makanan pada Dis tahun lalu.
Majlis pernikahan ini hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat serta diadakan secara sederhana atas permintaan keluarga pasangan tersebut.
Majlis bermula pada jam 9.30 pagi tadi bertempat di sebuah hotel di Putrajaya menyaksikan dulang hantaran sembilan berbalas tujuh serta cek hantaran perkahwinan berjumlah RM20,000.00 serta mas kawin sebanyak SGD300.00 dan sebentuk cincin.
Sufie dinikahkan oleh bapa kepada pengantin perempuan dan dikendalikan oleh juru nikah iaitu Hasli Othman dari Pendaftar Nikah Putrajaya.
Sufie dan Ain berkenalan pada penghujung 2016 sebelum mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang mereka.
Majlis resepsi akan berlangsung esok di Damansara Perdana.
Menurut Sufie, 28, dia berasakan cukup bertuah dapat mengenali isterinya sebagai peneman hidup.
"Saya bersyukur kerana saya dijodohkan dengan Ain. Ain merupakan isteri yang sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Dia tidak pernah menghalang untuk saya terus berkarya dalam industri seni," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, dia memohon agar peminat mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke jannah.

