Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Malaysia kini boleh berbangga apabila watak salah satu watak ciptaan Les' Copaque Production Sdn Bhd (Les' Copaque) diterima menjadi anggota terbaru keluarga Ultraman Jepun.

Tampil sebagai Ultraman Ribut watak ciptaan Les' Copaque itu beraksi dalam Ultra Galaxy Fight: New Generation Heroes yang dijadual mula disiarkan pada 29 Sept ini.

Ia akan ditayangkan di saluran YouTube rasmi Tsubaraya Productions Co Ltd (Tsubaraya) sekali gus dapat membantu mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

“Ini sesuatu yang tak disangka-sangka dan menyerlahkan nama Malaysia sebab watak Ultraman Ribut dari Malaysia diterima masuk keluarga Ultraman Jepun.

“Sedangkan Ultraman dari Thailand tak boleh,” kata Ketua Pengarah Isi Kandungan Les' Copaque, Ainon Ariff, kepada kepada Malaysiakini semalam.

Untuk rekod, Tsuburaya sebelum ini memenangi tuntutan saman ke atas seorang ahli perniagaan dari Thailand, Sompote Saengduenchai, yang mendakwa mempunyai hak antarabangsa ke atas watak ikonik itu.

Kes berkenaan berlanjutan selama 10 tahun.

Ultra Galaxy Fight: New Generation Heroes bakal disiarkan sebanyak 13 episod dalam dua versi iaitu berbahasa Inggeris dan Jepun.

Guna kaedah barter

Ia berkisahkan generasi baru Ultraman yang bergabung untuk melawan kumpulan jahat, League of Darkness.

Ainon yang juga isteri Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Mohd Radzi, berkata segala-galanya bermula apabila Tsuburaya menyatakan minat untuk menjalin kolaborasi dalam Upin & Ipin.

“Mereka bertanyakan sekiranya Ultraman boleh muncul dalam siri Upin & Ipin, tapi kami jawab kos perlu ditanggung nanti sangat mahal sampai berjuta-juta ringgit.

“Jadi kami cadangkan penyelesaian mengikut kaedah bater, iaitu setiap kali ada karnival di sini, Ultraman akan hadir untuk menghiburkan kanak-kanak,” katanya.

Watak ciptaan Ainon itu sebelum ini muncul dalam siri animasi berjudul Upin & Ipin dan Ultraman Ribut musim kelapan pada 2014.

Dengan bantuan Upin dan Ipin, Ultraman Malaysia itu berjaya menyelamatkan Kuala Lumpur daripada dimusnahkan raksasa Alien Kilat, Raksasa Bayang dan Raksasa Halilintar.

Sementara itu, mengulas penggunaan nama Ribut dan aksi silat yang diketengahkan, Ainon berkata, Les' Copaque mengadakan banyak perbincangan yang akhirnya dipersetujui Tsuburaya.

“Pada awalnya mereka mahu guna Storm, tapi demi memartabatkan bahasa Melayu, kami Melayukan nama itu menjadi Ribut.

“Begitu juga dengan aksi silat, kami mahu Ultraman Ribut berlawan menggunakan identiti Melayu kerana budaya kita diketengahkan dalam semua siri animasi terbitan kami,” katanya.

Ultraman satu daripada wira ikonik Jepun, dicipta pada 1966 oleh pengarah kesan khas Eiji Tsuburaya.

Sejak itu Tsuburaya banyak menayangkan rancangan televisyen, komik, filem dan barangan berdasarkan watak berkenaan.

Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Tsuburaya mengumumkan pengembangan jenama itu secara global melalui kerjasama rakan perniagaan yang bakal ditingkatkan bersama untuk wilayah Asia Tenggara termasuk Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS