Dek kerana permintaan tinggi daripada peminat, penyanyi dan komposer legenda M Nasir mengumumkan akan melanjutkan konsert Satu Hikayat kepada dua malam.

Konsert yang diadakan bersempena memperingati 40 tahun penglibatannya dalam industri muzik pada awalnya dijadualkan berlangsung satu malam sahaja pada 23 Nov ini di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, disebabkan permintaan luar biasa dan tiket yang habis terjual dalam masa yang singkat, M Nasir bersetuju untuk melanjutkan tempoh konsert itu kepada dua malam, iaitu 23 dan 24 Nov.

"Alhamdulillah, atas permintaan ramai yang menyebabkan penambahan malam kedua pada 24 November ini.

"Mungkin kerana peminat sudah lama tidak menyaksikan konsert solo saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Tanya Sama Itu Hud-hud dan Mentera Semerah Padi itu, pelanjutan hari kedua konsert itu dilakukan bagi menghargai para peminatnya yang terlepas untuk membeli tiket untuk malam pertama yang dikeluarkan sebelum ini.

Tiket untuk malam kedua akan mula dijual pada 14 Oktober.

"Jadi saya rasa inilah masanya buat para peminat yang sebelum ini sedih dan mengeluh kerana malam pertama sold out untuk mendapatkan tiket mereka dengan kadar segara.

"Dua malam untuk sama-sama menyusuri 40 tahun perjalanan muzik saya dalam satu hikayat," katanya.

Untuk rekod, penganjur konsert Satu Hikayat, Shiraz Project mengumumkan tiket untuk konsert tersebut mula dijual pada 21 September lalu, namun M Nasir dalam satu ciapan di Twitternya beberapa minggu kemudian mengumumkan tiket tersebut telah habis terjual.