Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Keluarga terkilan gambar Mamat Khalid di hospital tersebar
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 10:21 PM
Dikemaskini: 2:21 PM

Sikap sesetengah pihak menyebarkan imej Mamat Khalid terlantar di hospital dengan diiringi keterangan mengelirukan menimbulkan perasaan terkilan keluarga pengarah itu.

Kata anaknya, Nor Sara, foto yang kemudian tular itu menimbulkan salah faham orang ramai hingga ada antara mereka menyangka pengarah filem Hantu Kak Limah itu berada dalam keadaan kritikal.

Menurutnya, dakwaan tanpa maklumat sahih boleh mengundang andaian negatif, sedangkan ayahnya pada waktu itu sedang direhatkan doktor.

“Tengok gambar memang wajah dan tubuh ayah nampak bengkak. Tetapi itu berpunca daripada ‘water retention’ dan proses mengeluarkan air berlebihan dari badannya berjalan lancar.

“Tekanan darah dan buah pinggang papa OK... Ramai risau apabila gambar itu disebarkan di media sosial.

“Kami tiada niat berahsia. Ini kerana siapa yang tahu, tahulah. Lagi pun, papa yang meminta dihantar ke hospital selepas sesak nafas.

"Apatah lagi, sudah dua minggu dia mengadu tak sedap badan,” katanya seperti dipetik BH Online.

Menurut Nor Sara, sepanjang ditempatkan di unit rawatan rapi di sebuah pusat perubatan di Ipoh, Perak itu, ayahnya diberi ubat supaya tidur.

“Ini penting supaya ayah boleh berehat. Tiada apa yang perlu dirisaukan, cuma akibat penyebaran gambar itu membuatkan situasi jadi tidak terkawal,” katanya.

Justeru, Nor Sara menyeru agar sesiapa yang melawat seseorang pesakit untuk menghormati mereka dan keluarganya.

“Saya cakap bukan sebab papa orang dikenali, ini demi pesakit lain juga kerana melawat orang sakit pun perlu ikut adab.

“Apatah lagi ambil gambar curi-curi dan kemudian disebarkan tanpa usul periksa,” katanya.

Semalam, imej Mamat terbaring di katil hospital menjadi tular hingga ada yang menyangka dia koma akibat masalah jantung dihidapinya.

Lihat Komen
ADS