Vokalis kumpulan Azzara Band, Ejai Aziz, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan di kepala selepas mengalami kemalangan sewaktu bermain futsal Ahad lalu.

Perkara itu dimaklumkan seorang anggota keluarga - yang mengaku sebagai abangnya - melalui Instagram milik Ejai.

“Saya abang kepada Ejai Aziz minta semua rakan-rakan yang mengenali adik saya Ejai Aziz yang kini hilang ingatan akibat terhantuk ketika bermain bola.

“Dia kini berada di hospital Sungai Buloh dan ingatannya agak kritikal,” katanya.

Sementara itu, dipetik mStar, seorang daripada anggota Azzara Band, iaitu Mohd Hairol Azhar mengesahkan kejadian menimpa Ejai atau nama sebenarnya Mohd Azrizal Aziz.

Katanya, doktor memaklumkan Ejai mengalami pendarahan di kepala akibat gegaran kuat di otak, mengakibatkan penyanyi yang mempopularkan lagu Alalala Sayang itu hilang ingatan.

“Kami terkejut apabila mengetahui perkara ni, bingung jadinya apabila Ejai tak dapat mengenali individu terdekat seperti keluarga dan rakan,” katanya.

Mohd Hairol berkata, mereka juga terpaksa membatalkan beberapa persembahan yang dijadualkan dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada Ejai untuk berehat secukupnya.