Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tarantino enggan tunduk kehendak penapis filem China
Diterbitkan:  Oct 22, 2019 10:56 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Quentin Tarantino tidak bercadang untuk menyunting semula filem arahannya, Once Upon A Time In Hollywood, selepas Lembaga Penapis Filem China membatalkan kebenaran diberikan seminggu sebelum ia ditayangkan.

Walaupun tiada alasan tertentu dimaklumkan berhubung keputusan tersebut, media melaporkan, ia dipercayai berpunca daripada gambaran diberikan Tarantino terhadap imej legenda seni pertahan diri, Bruce Lee.

Lee dalam filem itu disifatkan Tarantino sebagai seorang yang bongkak dan ego.

Anak perempuan Lee, Shannon, sebelum ini pernah menyatakan rasa tidak puas hatinya berhubung tanggapan diberikan terhadap mendiang bapanya itu. 

Dia memfailkan aduan berhubung wira kebanggaan China itu kepada Lembaga Penapis Filem China selain menggesa Tarantino mengubah gambaran dibuat terhadap bapanya.

Beberapa pengkritik - termasuk Shannon dan bintang bola keranjang Kareem Abdul Jabbar - mengkritik filem berkenaan kerana merendah-rendahkan watak Lee.

Gagal catat kutipan lumayan

Babak yang dikecam itu memaparkan Lee - watak dijayakan Mike Moh - mencabar pelakon aksi ngeri Cliff Booth (Brad Pitt) untuk bertarung.

Adegan berakhir apabila Booth mencampak Lee ke atas kenderaan, menunjukkan watak itu masih kuat meskipun berdepan masalah karier sebagai pelakon aksi ngeri.

Pengkritik berpendapat bahawa Lee dieksploitasi apabila dia dijadikan tidak lebih daripada sebuah kenderaan naratif Tarantino.

Bruce Lee

Tarantino dalam sidang media di Moscow pada Ogos lalu mendakwa Lee memang seorang lelaki yang sombong tetapi Shannon menyelar respons berkenaan dan sebaliknya menyuruh pengarah terkenal itu supaya berdiam diri.

“Itu mungkin lebih baik. Atau dia boleh meminta maaf dengan berkata: Saya tak mengenali Bruce Lee dan watak tu hanya direka untuk filem saya, tapi ia bukan gambaran sebenar dirinya,” katanya.

Walaupun keputusan Tarantino menolak menyuntingan filem berkenaan bagi memuaskan China disokong segelintir pihak, pengarah itu sebelum ini pernah menyunting filemnya untuk pasaran negara itu.

Django Unchained yang ditayangkan pada 2012 pernah ditarik tayangannya sewaktu hari pelancaran filem berkenaan kerana mengandungi kandungan babak ganas.

Sebulan kemudian, Django Unchained ditayangkan selepas beberapa babak dikeluarkan. Bagaimanapun, filem berkenaan gagal mencatat kutipan pecah panggung di negara itu.

Lihat Komen
ADS