Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Walaupun sudah menolak lebih 20 peluang untuk sekali lagi menjayakan karya di layar lebar, pelakon Nazim Othman mengaku dirinya tetap terbuka dan sedia menilai tawaran untuknya - jika penerbit itu menunjukkan kesungguhan.

Menurut Nazim, biasanya dia akan menolak tawaran berlakon jika ia dilihat kurang serius, atau diberikan kontrak hanya pada saat-saat akhir sebelum sesebuah produksi memulakan penggambaran.

Kata Nazim, penerbit patut menghormati produk yang mereka mahu terbitkan dengan menunjukkan kesungguhan semasa mencari pelakon.

“Selama 10 tahun berada dalam dunia lakonan, lebih 20 tawaran berlakon filem saya tolak.

“Saya tak mahu terima tawaran berlakon yang lagi dua minggu penggambaran nak mula, baru panggil. Sepatutnya kita memberikan penghormatan kepada filem atau drama yang kita nak hasilkan.

“Dalam situasi begini, penerbit dan pelakon harus selari. Jangan pelakon saja yang beria-ia, tapi penerbit tak,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman itu ditemui pada majlis pelancaran drama terbarunya lakonannya, Suri Katriana, di Kuala Lumpur kelmarin.

Drama bersiri 49 episod itu turut dijayakan pelakon lain seperti Umi Nazeera, Aishah Azman, Zul Huzaimy Marzuki, Hasnul Rahmat dan Ezzaty Abdullah.

Drama arahan Pali Yahya itu - yang juga menyaksikan penampilan sulung penyanyi terkenal, Ernie Zakri dalam bidang lakonan - dijadual bersiaran pada 30 Oktober ini di saluran Astro.

Nazim, 35, berkata beberapa faktor lain berkaitan produksi dan sudut teknikal turut mempengaruhi pertimbangannya untuk menerima atau menolak tawaran yang datang.

“Ada yang baru baca sinopsis saya sudah tolak. Secara psikologi, jika nak jalankan penggambaran filem, skripnya harus kuat daripada produk televisyen, produksi kena besar, bajet kena besar, dan seluruh pasukan pun kena besar.

“Kalau perkara-perkara tu tak ada, saya tak ambil (tawaran),” katanya.

Pelakon drama Terima Aku Seadanya itu menjelaskan pada awal kemunculannya sebagai pelakon dia memang belum bersedia untuk memberikan komitmen untuk menjayakan mana-mana filem.

Bahkan, menurutnya, ada tawaran pernah singgah di hati bagaimanapun disebabkan waktu tidak bersesuaian dia sekali lagi memberikan jawapan tidak kepada penerbit.

“Itu dulu, sekarang saya sudah bersedia lebih-lebih lagi untuk tahun depan. Jika ada penerbit mahu memanggil saya untuk sesi uji bakat, saya sudah bersedia,” katanya.

Lihat Komen
ADS