Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Balu pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, Ramlah Ahmad kini mendapat pembelaan daripada rakan-rakan arwah yang menggerakkan sumbangan - walaupun secara tidak langsung - melalui hasil tontonan di YouTube.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ramlah menzahirkan perasaan syukur tidak terhingga kerana masih ada pihak yang sudi membantu meskipun selepas ketiadaan arwah.

“Saya amat bersyukur ada kawan-kawan arwah yang nak membantu. Saya anggap ni rezeki dari Allah,” katanya yang tidak berapa sihat ketika dihubungi sebentar tadi.

Yazit meninggal dunia berpunca daripada serangan sakit jantung pada jam 11.53 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 26 September lalu.

Tahap kesihatan Yazit sebelum itu dilaporkan semakin merudum antaranya akibat menderita penyakit komplikasi buah pinggang hingga menyebabkan dia kerap berulang-alik masuk ke hospital.

Allahryarham turut meninggalkan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 28.

Pengurus Persatuan Karyawan Malaysia, Ahmad Abdullah pula menjelaskan, rakan-rakan arwah yang berminat untuk menyumbangkan kandungan video mereka boleh berbuat demikian melalui saluran YouTube Sang Gendang TV.

Menurutnya, kandungan tersebut terlebih dahulu akan dinilai mengikut kesesuaian tema saluran sebelum boleh dimuat naik untuk tontonan umum.

“Jenis kandungan yang kami terima adalah pelbagai, ia boleh dihasilkan sama ada dalam bentuk persembahan atau mini dokumentari. Tapi kandungan tersebut mestilah berorientasikan lagu-lagu Search,” katanya.

Menurutnya, peluang menghantar video turut dibuka kepada peminat sekiranya mereka ingin sama-sama tampil meringankan beban balu Yazit.

Berkongsi lanjut, kata Ahmad, ilham mencipta saluran YouTube berkenaan pada awal sebenarnya dirancang bersama-sama Yazit.

“Kami rancang untuk bina saluran yang boleh jana pendapatan buatnya dan keluarga. Tapi arwah pergi sebelum sempat kami realisasikan impiannya itu,” katanya.

Sementara itu, Syafiqa berkata, dia sekeluarga seboleh-bolehnya tidak mahu membebankan sesiapa dengan kewujudan saluran Sang Gendang TV.

Bagaimanapun, dia amat berterima kasih kepada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan ibunya yang bergelar suri rumah sepenuh masa.

“Kalau boleh nak berdiri atas kaki sendiri tanpa susahkan sesiapa. Tapi saya bersyukur kalau ada orang nak bantu. Ni rezeki.

“Hasil pendapatan diperoleh daripada saluran tu 100 peratus saya akan serahkan kepada ibu,” katanya yang akan bertindak menguruskan saluran tersebut.

Lihat Komen
ADS