Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Diasak rindu pada ayah, anak Yazit banyakkan doa

Selepas sebulan berlalu, perasaan rindu Shafiqa Nurlis kepada arwah bapanya, Yazit Ahmad, masih tetap menebal.

Sebagai anak bongsu dan paling rapat dengan pemain dram kumpulan Search itu, perasaan seperti itu diakui Shafiqa memang sangat sukar untuk ditepis.

Katanya, pemergian bapanya itu membuatkan jiwanya seakan amat kosong.

“Memang setiap hari saya rindu ayah. Saya rasa kosong tak ada dia. Kami amat rapat walau ayah seorang yang tegas, kuat dan berdisiplin dia sangat baik, bertanggungjawab dan setia pada isteri,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk mengatasi perasaan rindu yang bersarang, Shafiqa, 28, berkata dia membanyakkan berdoa selain meluangkan masa mengimbau kenangan yang terakam bersama Yazit.

“Saya sedekahkan al-Fatihah dan tengok video kami yang dulu-dulu," katanya.

Bagaimanapun, Shafiqa berkata dia mengehadkan kekerapan melawat pusara arwah ayahnya hanya sebanyak seminggu sekali.

Jika berlebihan, katanya, dia bimbang akan dihimpit perasaan hiba yang lebih kuat.

Semua yang hidup akan mati

Pada 26 September lalu, peminat dunia rock dikejutkan dengan berita kehilangan Yazit apabila dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.53 pagi di Hospital Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggal dunia ketika usianya mencecah 57 tahun.

Yazit berdepan penyakit buah pinggang sejak lebih 10 tahun lalu, selain diserang beberapa masalah lain hingga kerap keluar masuk hospital. Dia juga perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. 

Selain Shafiqa, allahyarham meninggalkan dua lagi anak, Razilah, 38; dan Shamirnuri, 34, yang terbatas pergerakannya kerana masalah jantung bengkak.

Anak-anak itu lahir hasil perkongsian hidup Yazit bersama Ramlah Ahmad, 60.

Namun, dalam sedih Shafiqa sering mengingatkan dirinya untuk menerima segala ketentuan Tuhan dengan reda.

“Sebagai anak saya kena kuat untuk teruskan kehidupan ni, sebab semua yang terjadi adalah lumrah kehidupan.

“Semua yang hidup pasti pergi. Itu sebab kena sentiasa bersangka baik dengan Ilahi,” katanya.

Kata Shafiqa, sebelum ini pernah timbul perasaan tidak mahu percaya bahawa bapanya sudah pergi buat selama-lamanya.

Namun, perasaan itu cepat-cepat dibuang memandangkan dia tidak mahu bapanya meneruskan kehidupan tetapi tetap menderita sakit.

“Ayah akan terseksa kerana sakit dan keadaan kesihatannya juga tak mengizinkan untuk dia mencari sumber pendapatan,” katanya.

Lihat Komen
ADS