Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tetap reda dengan ketentuan Ilahi - selepas kehilangan bapa - anak bongsu Yazit Ahmad meluahkan hasrat untuk merealisasikan impian ayahnya itu menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah suatu hari nanti.

Kata Shafiqa Nurlis, Yazit berhajat mengerjakan umrah sebelum ini namun niat itu terpaksa dibatalkan ekoran masalah buah pinggang dan beberapa faktor kesihatan lain.

"Kami rancang nak pergi Mekah bulan lalu, tapi ayah tak berapa sihat dan dia juga maklum keadaan dirinya pada waktu itu.

"Walaupun ayah pulang ke rahmatullah sebelum sempat kami merealisasikan impian itu, saya akan cuba menunaikan ibadah itu bagi pihaknya jika diberi kesempatan," katanya.

Shafiqa ditemui sebelum pengebumian Yazit di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur hari ini.

Selain Shafiqa, allahyarham turut meninggalkan dua lagi anak, iaitu Razilah, 38, serta Shamirnuri, 34, selain isteri, Ramlah Ahmad, 59.

Shafiqa berkata, sikap ayahnya banyak berubah sejak akhir-akhir ini, malah arwah juga ada memberitahu dia enggan lagi mendapatkan rawatan di hospital.

Peminat tak tahu

Sebaliknya, kata Shafiqa, allahyarham menegaskan, dia ingin "berehat."

"Jumaat lalu kami berbual-bual dan dia bagitahu tak mahu masuk hospital lagi dah sebab nak berehat lepas dua hari ditahan di wad kerana sesak nafas awal Sept lalu.

"Dan jam 3 pagi semalam, ayah tiba-tiba semput, jadi kami bawa dia ke hospital.

"Petang semalam, doktor maklumkan, dah tak ada oksigen dalam badan. Bantuan pernafasan yang dilakukan juga akibatkan kerosakan pada otak. Tepat jam 11.53 pagi hari ni, ayah meninggalkan kami," katanya.

Ditanya kata-kata terakhir arwah yang masih terngiang-ngiang di telinga, Shafiqa berkata, Yazit ada meminta agar dia terus membantu keluarganya terutama ibunya yang sudah berusia.

"Ayah cakap jagalah mak sebab saya seorang masih muda daripada yang lain.

"Memang ramai yang tahu saya anak ayah. Sejak habis bersekolah, saya terus bekerja, tak ada pergi melancong, beli rumah atau beli kereta. Semua yang diperolehi daripada hasil kerja, disumbangkan untuk membantu makan dan ubat-ubatan ayah," katanya.

Pada masa sama, Shafiqa berkata, perjuangan ayahnya yang tidak pernah mengenal erti lelah mengetengahkan muzik membuatkan dia kagum terhadap pemain dram yang pernah menghiburkan peminat sewaktu bersama kumpulan Search dulu.

"Selama 10 tahun dia lawan penyakit dengan keadaan kesihatan dan kekangan ekonomi, peminat tak tahu semua ni," katanya.

Shafiqa pada masa sama berterima kasih kepada rakan seperjuangan ayahnya yang hadir di majlis pengebumian terutama anggota lain kumpulan Search iaitu, pemain bass, Nasir Daud; pemain gitar irama, Nordin Mohd Taib; dan pemain gitar utama, Hamzah Mohd Taib.

"Saya tak sangka Uncle Kid, Nasir dan Din datang walaupun tak dimaklumkan terlebih dahulu, alhamdulillah. Walau apa pun terjadi, silaturrahim sesama mereka tak pernah putus," katanya.

Lihat Komen
ADS