Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Naluri ibu buat Siti puas bantu kanak-kanak kurang bernasib baik

Pernah menunggu sehingga 11 tahun untuk menimang cahaya mata, penyanyi Siti Nurhaliza Tarudin pastinya faham kasih sayang seorang wanita terhadap anak mereka.

Justeru apabila berpeluang membantu kanak-kanak pesakit jantung yang memerlukan bantuan dana untuk rawatan, naluri keibuan mendorongnya agar tidak melepaskan peluang itu.

Kata Siti, selepas menjadi ibu, rasa prihatinnya untuk membantu kanak-kanak yang berdepan penyakit kian mendalam.

“Siti boleh rasakan bagaimana perasaan ibu-ibu yang risaukan kesihatan anak mereka. Aafiyah pernah sakit dan demam sehingga ditahan di wad. Ituu baru sakit biasa.

“Inikan pula kanak-kanak yang ada masalah jantung, perlu dibedah dengan segera tapi ibu bapa mereka ada masalah kewangan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kempen Simplysiti di Hati 2019 di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Pada majlis itu, penyanyi ternama itu turut melancarkan single terbaru, Terang hasil sentuhan komposer Aubrey Suwito dengan lirik ditulis Sham Shamshiri. Ia juga menjadi lagu tema kempen tersebut.

Menerusi kempen yang akan berlangsung selama dua bulan bermula November ini, Siti membantu mengumpul dana bagi lima kanak-kanak berusia empat tahun - Mugilan A/L Ramesh Rao, 2, Sian Wan Ying, Nurul Syamimi Ahmad Paridon, Auni Insyirah Muhammad Firdaus Hilmi, Nur Auni Mardhiyah Ahmad Hanafi - yang mengidap penyakit jantung.

Mereka dijadual menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada November ini dengan anggaran kos paling kurang RM70,000.

Kempen itu diperkenalkan pada 2011 dan telah berjaya mengumpul dana lebih RM200,000 untuk disalurkan kepada Yayasan IJN.

Setakat ini ia telah membantu rawatan 14 kanak-kanak yang mengidap penyakit jantung.

Mengulas lanjut, Siti, 40, berkata, dia tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila sekali lagi berpeluang meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

“Perasaan puas saya tak boleh dinilai dengan wang ringgit atau dengan kata-kata. Syukur dengan rezeki Allah bagi Siti dapat lancarkan kempen seperti ini,” katanya.

Penyanyi Bukan Cinta Biasa itu menyeru agar orang ramai turut menghulurkan bantuan memandangkan ramai lagi kanak-kanak pesakit jantung yang berada dalam senarai menunggu untu dibedah.

“Masih ramai tunggu dibedah, IJN perlu bantuan dan sokongan syarikat swasta lain untuk berkolaborasi dengan matlamat sama seperti ni.

“Kanak-kanak ni perlukan kehidupan lebih baik kerana masa depan mereka masih panjang,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS