Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Enggan wang mempengaruhi kehidupan anak sulungnya sejak kecil, aktres Diana Danielle tidak membenarkan Muhammad menerima tawaran berlakon kecuali daripada produksi bapanya, Farid Kamil.

Kata Diana, keputusan itu diambil kerana tidak mahu Muhammad mengabaikan perkara lebih penting disebabkan leka kerana duit walaupun anaknya yang baru berusia enam tahun itu boleh dianggap Farid versi mini.

"Muhammad memang versi mini Farid, dia minat sukan permotoran sama maca bapanya dan mereka baru saja selesai jalani penggambaran Remp-it 2.

"Namun, sebagai ibu saya tak mahu Muhammad lalai kerana wang bila dah terbiasa sangat berlakon.

"Kalau seorang budak dapat kenal duit nanti mereka akan mudah lupa perkara lebih penting dalam kehidupan," katanya yang ditemui di majlis Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Diana dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem melalui Gol & Gincu Vol 2 pada majlis berkenaan.

Pelakon berkenaan turut menafikan tindak-tanduknya itu disebabkan dia mahu mengekalkan hal eksklusif Muhammad hanya untuk produksi milik Farid.

"Bukan tak benarkan, Muhammad cuma terlalu muda untuk faham. Saya sayang anak dan mahu yang terbaik untuk mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai anugerah dimenanginya, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu berkata, dia tidak menyangka akan memenangi kategori berkenaan.

Diana, 26, juga berkata salah satu cabaran perlu didepani sewaktu menjalani penggambaran itu ialah apabila suaminya diuji dugaan berat membabitkan kes polis.

"Mungkin semasa penggambaran berlaku sama waktu ketika Farid lalui fasa sukar, justeru buatkan saya sukar untuk fokus.

"Saya juga lama dah tak berlakon filem kerana jadi ibu perlu memilih komitmen antara karier dengan anak.

"Saya juga kena pilih yang naskhah berbaloi kerana sayang untuk tinggalkan anak," katanya.

Lihat Komen
ADS