Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Impian Hairul Azreen untuk mempamerkan kemahirannya dalam aksi seni bela diri bukan saja terlaksana melalui filem Wira bahkan dia berpeluang meraih pengalaman berharga apabila bekerja dengan Yayan Ruhian.

Menurut Hairul, pengalaman manis bergandingan dan sekaligus berguru di lokasi penggambaran dengan Yayan membuatkannya dirinya bertambah kagum apabila mengetahui sifat positif dimiliki artis seni bela diri tersohor dari Indonesia itu.

“Bangga. Ni pertama kali saya berlakon dengan Yayan. Memang satu mimpi. Dia seorang yang sentiasa merendah diri dan banyak beri tunjuk ajar.

“Dia juga tak banyak songeh atau diva. Bayangkan pelakon yang pernah berlakon produksi Hollywood tapi memiliki sifat begini, apatah lagi kita ni,” katanya.

Lebih membanggakan, Hairul, 31, berkata, dia dapat meluangkan masa bersama-sama menonton filem terbaru lakonan Yayan iaitu John Wick: Chapter 3 - Parabellum.

“Saya duduk sebelah pelakon Hollywood masa tonton Keanu Reeves dalam John Wick. Kalau dia awek, saya dah pegang tangan dia dah,” katanya secara berjenaka.

Hairul ditemui semasa sidang media tayangan filem Wira di Kuala Lumpur kelmarin.

Wira yang mendapat arahan pengarah filem Paskal iaitu Adrian Teh berkisahkan Hassan, watak dilakonkan Hairul pulang berjumpa keluarga selepas lama meninggalkan keluarga sejak kecil untuk menyertai tentera.

Hassan juga kembali untuk menyelesaikan hutang adiknya Zain (Fify Azmi) atas kekalahan pertandingan Mixed Martial Arts anjuran Raja (Dain Said).

Filem berkenaan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 November ini.

Untuk rekod, selain John Wick: Chapter 3 - Parabellum, Yayan juga pernah berlakon filem seperti Star Wars: The Force Awakens dan The Raid.

Mengulas lanjut mengenai Wira, kata Hairul, sebagai anak seni, memang sebahagian besar impiannya ialah untuk menempa nama dalam industri melalui filem-filem aksi lasak.

Menurut Hairul, meskipun melalui Wira, dia mengalami kecederaan ekoran ligamen kaki kanan terkoyak sewaktu penggambaran, semangatnya untuk terus beraksi dalam filem sedikit pun tidak luntur.

“Mak pun ada persoalkan kenapa nak buat kalau dah sampai bahayakan badan tapi memang ni dah memang minat dan kerja saya.

“Sebelum ni dah banyak kali tercedera tapi tak ada orang tahu. Sebelum bergelar aktor, memang saya jadi pelakon pendua (body double),” kata pelakon Paskal dan Polis Evo 2 itu.

Lihat Komen
ADS